Selasa, 19 Mei 2009

PIBG disyor bantu terap wawasan Satu Malaysia

KOTA BHARU 18 Mei - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mencadangkan semua Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) seluruh negara digerakkan bagi membantu menerapkan visi wawasan Satu Malaysia.

Pengerusi Biro Pelajarannya, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, visi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak perlu diterjemahkan secara meluas melalui ibu bapa dan warga pendidik di seluruh negara.

''Ia boleh membantu menggerakkan gelombang kesedaran massa bagi kebangkitan gerak kerja dan pemikiran baru melalui pendidikan negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) berkata, sekolah berkenaan akan melancarkan program bagi menghayati wawasan tersebut dalam masa terdekat ini.

''Saya yakin visi yang diperkenalkan ini sangat baik dan berharap ibubapa dapat menerima dan menjayakannya," ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru di SMIP di sini, semalam.

Pada majlis itu, 200 guru dan pelajar hadir bagi memeriahkan sambutan dan pada masa sama, seramai 30 pelajar cemerlang menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh Rozali.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Mubarak Negeri, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd. Noor, guru-guru serta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri.

Rozali berjanji akan bekerjasama dengan guru-guru dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar supaya SMIP dapat mengekalkan kategori sekolah cemerlang yang disandang tahun lepas.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009

Tiada ulasan: