Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Pengumuman Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai senarai dua puluh sekolah berprestasi tinggi (SBT) pastinya mendatangkan minat yang bukan kecil di kalangan ibu bapa. Penulis pasti, kepada ibu bapa yang anak mereka berada di dalam senarai tersebut, berasa amat bertuah dan beruntung kerana anak mereka diberikan ruang untuk mendapat ilmu di sekolah yang diumumkan. Memang menjadi keinginan setiap ibu bapa untuk menghantar anak ke SBT.
Hakikatnya, asas pendidikan menjadi perkara yang sangat penting kepada ibu bapa masa kini. Persaingan amat ketat. Kita tekad untuk menyediakan anak-anak kita dalam medan persaingan yang sezaman dengan mereka.
Kalau dahulu, kita menjadi sangat fobia dengan peralatan komputer dan sebagainya - hari ini kita dapat melihat anak-anak waima di sekolah rendah, mahu mempunyai e-mail dan facebook sendiri! Mereka cukup terkehadapan dalam perkara ini.
Dalam konteks kita menuju sebuah negara maju, sebagai persediaan kita menjengah 'model ekonomi baru' yang bakal diperhalusi tidak beberapa lama lagi; pendidikan akan menjadi soal dan perkara yang sangat teras.
Walaupun pada dasarnya kita gembira dengan makluman dua puluh sekolah berprestasi tinggi; apakah dengan dua puluh sekolah ini sahaja kita mampu menyediakan 'tenaga muda' yang mampu menjulang nama dan maruah negara? Apakah kita mampu berpuas hati setakat itu sahaja?
Penulis pasti, dalam niat dan kehendak Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ia pastilah menjurus kepada usaha 'pendemokrasian prestasi' yang lebih nyata. Kita menginginkan 'kluster' dan kumpulan SBT yang lebih luas.
Kita menginginkan agar setiap sekolah yang mempamerkan pencapaian baik di dalam ukur nilaian yang ditetapkan mampu diakses oleh lebih ramai rakyat. Maka dengan itu, agenda 'mendahulukan rakyat' akan menjadi lebih diterima dan demokratik.
Penulis suka mencadangkan, agar Kementerian Pelajaran mengkaji kemungkinan mempunyai satu lagi kumpulan sekolah yang menjadi pelengkap kepada SBT. Sekolah berpotensi berprestasi tinggi (SBBT) juga wajar diwujudkan.
Perhatian, fokus dan tumpuan mestilah diberikan kepada sekolah harian berbanding 'Sekolah Berasrama Penuh'. Pada pandangan penulis, kalangan anak-anak yang sudah sedia berada di asrama penuh, sudah pun 'dipilih' untuk berada di sana. Namun, sekolah harian yang terpaksa menerima kumpulan pelajar daripada pelbagai latar belakang itulah sebenarnya lebih cemerlang - jika mampu berada di kelompok SBT/SBBT.
Tanpa menidakkan peranan guru-guru SBP - penulis lebih terpanggil untuk kita memberikan pengiktirafan sebaiknya kepada kalangan guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah di sekolah harian. Mereka ini menjadi kalangan 'pejuang yang kurang didendang', walaupun terpaksa berhadapan dengan kelompok pelajar yang pelbagai latar belakang.
Mereka tidak berurusan dengan pelajar yang 'sudah cemerlang'. Mereka tidak hanya mengajar kalangan pelajar yang 'terpilih'. Mereka menganggap semua pelajar sebagai 'anak' yang wajib dididik dengan penuh kasih sayang. Mereka inilah yang mampu 'mendemokrasikan' matlamat pendidikan dalam erti kata yang sebenar.
Justeru, memberikan penumpuan yang 'keterlaluan' kepada sekolah-sekolah yang terkenal, elit dan punya sejarah ratusan tahun sahaja - tidak pada niatnya, memenuhi hasrat pendemokrasian pendidikan yang sebenar.
Kalau kita teliti dan perhalusi senarai dua puluh SBT yang diumumkan; pencapaian beberapa sekolah harian lebih menarik perhatian. SK Bandar Baru Uda 2, SK Zainab (2) Kota Bharu Kelantan dan SK Convent Kota, Taiping, Perak misalnya wajar lebih dihormati dan dihargai.
Inilah kalangan sekolah yang benar-benar diuji dengan sistem pendidikan yang sebenar. Mereka tidak dilindungi oleh beberapa 'keistimewaan' yang dinikmati oleh sekolah berasrama penuh yang lain.
Untuk itu, kerajaan digesa untuk memperbesarkan sedikit 'kluster' SBT yang ada. Pengenalan SBBT, yang merangkumi sekolah harian khususnya, yang menunjukkan prestasi yang baik di sebalik kekurangan yang ada wajar diwujudkan seberapa segera. Inilah wadah untuk kita memperluaskan 'prestasi pendidikan' yang pastinya dihargai rakyat.
SBBT perlu dikhususkan kepada sekolah harian bagi memberikan 'ruang yang lebih adil' untuk pelajar di seluruh negara. Ia akan mewujudkan persaingan yang sihat di peringkat akar umbi. Bukannya persaingan di antara mereka yang 'terbilang' semata-mata. Kayu ukur pencapaian mestilah mengambil kita angkubah-angkubah tertentu yang lebih adil untuk mereka.
Kalau setiap SBT diberikan bantuan sebanyak RM1 juta, penulis merasakan tidak ada salahnya jika SBBT diberikan peruntukan khas sebanyak RM100,000 setahun bagi membantu mereka menyusun program dan agenda sekolah yang lebih tersusun dan kemas. Dengan pemberian ini, SBBT terbabit diberikan tempoh masa tertentu untuk merangka pelan strategik untuk mencapai tahap SBT dalam tempoh dua atau tiga tahun.
Dengan pengenalan SBBT, penulis menganggap ia akan memberi 'ruang' yang lebih adil untuk lebih ramai kelompok pelajar. Tidak semua anak kita yang cemerlang mampu berada di asrama penuh. Itu hakikat dan faktanya.
Kalau begitu, apalah salahnya jika 'pemerkasaan dan pembugaran pencapaian' sekolah harian diberikan penumpuan khusus oleh Kementerian Pelajaran.
Penulis percaya, jika SBBT diterima pakai, diusaha dan dijayakan - ia lebih mampu mengisi niat 'mendahulukan rakyat' yang diperkatakan oleh kerajaan. Lebih ramai ibu bapa di peringkat akar umbi yang dapat 'merasai' sumbangan dan perhatian kerajaan. Yang pasti, lebih ramai ibu bapa yang terdorong untuk percaya dengan sistem pendidikan kebangsaan.
SBBT - akan pastinya juga memberikan 'kepercayaan' kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk merasai nikmat pendidikan cemerlang. Kita tidak lagi terikat dengan 'kuota' dalam membicarakan kecemerlangan pelajar. Ini sekali gus, mampu mempercepatkan usaha merealisasi pemerkasaan aliran kebangsaan.
Penulis terpaksa akur, bahawa dalam kita menjayakan niat SBT/SBBT - peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kita tidak boleh terlalu berkira dalam soal pendidikan anak-anak. Kita tidak boleh menggunakan PIBG sebagai platform mencari kemasyhuran diri yang bersifat sementara. Kita tidak wajar menjadikan PIBG sebagai medan tempur politik dan kepentingan peribadi.
Ramai juga di kalangan rakan penulis, yang cuba memperbandingkan 'sikap' dan 'kematangan' ibu bapa sekolah Cina dengan mereka yang berada di sekolah kebangsaan. Sifat dan kemahuan mereka untuk 'menyumbang' kepada pelajar dan sekolah adalah luar biasa.
Kalangan ibu bapa yang berada di sekolah harian biasa perlu mula celik dengan pertanggungjawaban besar ini. Kita tidak boleh lagi menyerahkan kepada guru/sekolah dan kerajaan dalam memastikan kecemerlangan anak-anak kita. Hubungan baik ibu bapa dan guru, termasuk kakitangan sokongan sekolah mestilah berada di tahap yang tinggi.
Penulis cukup yakin, kerajaan akan kelihatan lebih dinamik, progresif dan adil sekiranya mampu memperluaskan sedikit senarai SBT yang baru diumumkan. Pengenalan SBBT akan lebih mampu menarik minat ibu bapa dan pelajar untuk bersaing secara sihat. Tumpuan keterlaluan kepada sekolah berasrama penuh akan hanya memberikan kepuasan kepada kelompok kecil rakyat.
Dalam landskap politik yang serba baru, kerajaan mestilah bersungguh melaksana niat 'rakyat didahulukan; pencapaian diutamakan' yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Dalam politik juga, soal 'angka' menjadi sangat sinonim dan penting.
Apakah kerajaan cukup yakin dengan pelaksanaan SBT sahaja, rakyat berasa selesa dengan sistem pendidikan yang ada? Apakah kerajaan berasa yakin, dengan pelaksanaan SBT sahaja - seluruh tangan rakyat mampu digapai untuk 'merasai' nikmat kecemerlangan pendidikan?
Inilah masanya, agenda pendidikan dijadikan sesuatu yang 'dirasai' oleh kelompok rakyat yang lebih ramai. Tumpuan khusus terhadap sekolah harian dan tadbir urusnya, akan memberikan keyakinan kepada lebih ramai rakyat yang ada di luar sana.
Khairuddin Mohd. Zain ialah penulis bebas
Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2010