Rabu, 20 Januari 2010

Isu sekolah tiada air hanya salah faham - Jawi

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Pemasangan meter air berasingan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Al Islamiah di Jalan Kuchai Lama di sini akan dibenarkan sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah bekalan air di sekolah tersebut.

Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya akan meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menjalankan kerja-kerja penyambungan dan pengasingan meter dengan kadar segera.

Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia sebenarnya hanya berpunca daripada tekanan air rendah disebabkan langkah berkongsi meter air antara sekolah itu dengan surau berhampiran.

Menurutnya, tindakan menyatakan tiada bekalan air langsung ke sekolah itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak tepat.

"Saya sendiri hairan bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan sebelum ini, Jawi dan pihak sekolah pada tahun 2005 telah pun mencapai kata sepakat untuk tidak mengasingkan meter air dengan surau itu.

"Persetujuan yang dicapai pada ketika itu ialah berkongsi meter dan menanggung kos bersama,'' ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia keluaran Sabtu lalu mengenai murid di sekolah berkenaan terpaksa menggunakan surau Nurul Hidayah berhampiran untuk membuang air ekoran tiada bekalan air ke sekolah berkenaan.

Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak bertanggungjawab diminta agar segera menyelesaikan masalah yang ditanggung murid sekolah, selain masalah ketiadaan talian telefon.

"Saya melihat perkara ini lebih kepada masalah dalaman dan salah faham antara barisan kepimpinan persatuan yang lama dan yang ada sekarang ini.

"Apa yang diharapkan perkara seumpama itu tidak dijadikan isu semata-mata demi kepentingan sendiri,'' ujarnya.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai masalah melibatkan Jawi agar merujuk terlebih dahulu kepada pihak pengurusan Jawi bagi memastikan sesuatu perkara itu tidak disalah anggap seterusnya menjadi isu besar.

"Jawi sendiri sentiasa berusaha memberi keutamaan dan menyelesaikan setiap masalah demi kepentingan masyarakat seiring apa yang dilaungkan kerajaan.

"Selama ini pun, banyak isu-isu melibatkan masjid mahupun surau di Wilayah Persekutuan ini berjaya diselesaikan,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 20 Januari 2010

Tiada ulasan: