Oleh Irwan Shafrizan Ismail
bhnews@bharian.com.my
SUASANA suram dan menakutkan di Kuarters Intitusi Pendidikan Taman Tas. |
Penghuni dakwa lihat makhluk sejak bidan kena bunuh
KUANTAN: Biarpun mempunyai 80 unit rumah, empat blok kuarters guru di Taman Tas, di sini kelihatan seolah-olah satu kawasan tinggalan apabila hanya dihuni enam keluarga selepas ramai guru berpindah.
Kuarters terbabit kelihatan terbiar berikutan tiada penyelenggaraan selain rumput memanjang di sekeliling pagar kuarters berkenaan, malah keadaan sekitar gelap gelita pada waktu malam dengan tiada lampu sepanjang jalan masuk sekali gus mengundang rasa seram penduduk berhampiran.
Sama ada secara kebetulan atau tidak, kebanyakan guru mula berpindah sejak tiga tahun lalu selepas berlaku satu kejadian pembunuhan membabitkan seorang bidan di blok B kuarters berkenaan.
Dalam kejadian 21 Januari 2007 itu, bidan terbabit, Hasnah Mat, 51, ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan leher dijerut dengan tudung dan mayatnya dibungkus dengan permaidani dan hanya ditemui selepas lima hari apabila penduduk di blok sama terhidu bau busuk.
Tinjauan Berita Harian ke kuarters yang mula dibuka pada 2003 itu mendapati blok A sudah tidak berpenghuni, manakala blok lain dihuni enam keluarga guru saja selain dimaklumkan ada yang akan berpindah dalam masa terdekat.
TINGKAP unit B-44 yang terbiar dan didakwa berhantu di Kuarters Intitusi Pendidikan di Taman Tas. |
Seorang guru, Sarabaini Abdullah, 30, yang juga antara yang terawal tinggal di kuarters terbabit, berkata ramai guru berpindah selepas insiden pembunuhan terbabit dengan dakwaan pernah terserempak dengan hantu selain mengalami gangguan lain.
“Sebenarnya ramai yang mendakwa berjumpa dengan makhluk lain di sekitar kawasan ini, ada juga yang memberitahu diganggu suara pelik dan berikutan itu mereka mula berpindah sedikit demi sedikit.
“Saya pula hanya berpindah setahun selepas kejadian itu, namun sepanjang tinggal di sini Alhamdulillah, tidak pernah mengalami gangguan seperti guru lain,” katanya.
Selain itu, kebanyakan guru yang berpindah dari kuarters itu tidak mahu menceritakan perkara sebenar dengan alasan enggan mengungkit kisah lama dan mereka hanya memberi alasan keadaan kuarters yang tidak diselenggara sebagai punca berpindah.
Seorang guru lelaki yang enggan dikenali dan masih tinggal di blok sama kejadian terbabit berlaku, berkata masalah utama di kawasan berkenaan cuma penyelenggaraan dan bukan cerita hantu yang digembar-gemburkan.
Namun ketika ditanya sama ada pernah terserempak atau diganggu sesuatu yang pelik, guru berusia sekitar 50-an itu berkata tidak pernah, namun riak wajahnya jelas menyembunyikan cerita di sebaliknya.
“Tidak tahu pula sekiranya ramai yang berpindah kerana kawasan ini berhantu, cuma memang tiada penyelenggaraan lagi sehingga kawasan ini menjadi sunyi dan rumah yang tidak berpenghuni juga sering dipecah masuk penagih yang mencuri besi pintu dan tingkap,” katanya.
Berita Harian Online: 21 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan