Khamis, 7 Januari 2010

IPG-KBA utama keselamatan pelatih

PIHAK Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPG-KBA) merakamkan ucapan terima kasih kepada Berita Harian atas penyiaran aduan 'Pelatih ketakutan' yang disiarkan ruangan ini 29 Disember lalu bertajuk 'Pelatih kesal institut tak hirau aduan gangguan pensyarah gatal'. Berikut adalah ulasan dan maklum balas IPG-KBA terhadap isu terbabit.

Untuk makluman, pihak institut mempunyai beberapa saluran bagi membolehkan pelajar atau 'pelanggan' membuat aduan atau memberi maklum balas terhadap perkhidmatan diberikan. Di antara alternatif diberi adalah melalui Sistem Aduan Pelanggan secara online (intranet institut) atau dengan memasukkan borang aduan ke dalam peti disediakan.

Selain itu, Pengarah dan Timbalan Pengarah IPG-KBA juga selalu mengadakan sesi dialog bersama pelajar supaya semua masalah semasa dapat dikenal pasti, di samping mengamalkan konsep 'pintu terbuka'. Jelas, IPGM-KBA memberi laluan yang begitu luas untuk pelajar mendedahkan permasalahan yang boleh diselesaikan pada peringkat dalaman.

Sistem aduan pelanggan adalah selaras dengan standard piawaian MS ISO 9001 2000 yang diamalkan oleh pihak institut dan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran. Pihak institut akan mengambil tindakan atau membuat penyiasatan awal dalam masa tujuh hari bekerja selepas surat aduan diterima.

Bagi setiap aduan yang memerlukan tindakan segera, pihak pengurusan akan mengadakan Mesyuarat Pengurusan Pentadbiran dan Profesionalisme untuk membincangkan isu dan tindakan yang perlu diambil.

Isu yang diajukan oleh pihak pengadu adalah satu isu yang berat dan sememangnya menjadi keutamaan pihak institut untuk membuat penyiasatan segera dan tindakan lain yang perlu. Dalam konteks ini, pihak institut amat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh 'Pelatih Ketakutan'.

Bagaimanapun, tindakan tidak boleh diambil oleh pihak IPG-KBA seandainya pengadu tidak tampil membuat aduan mengikut prosedur yang ada atau mengadakan perbincangan dengan pihak pentadbir. Oleh itu, pihak pengurusan memohon pengadu agar dapat berjumpa dan berbincang dengan Pengarah atau Timbalan Pengarah secara peribadi.

Setakat ini, pihak institut belum pernah menerima aduan dimaksudkan seperti tertera dalam artikel berkenaan. Adalah menjadi tanggungjawab utama pihak kami mendahulukan kepentingan pelajar yang sepatutnya berasa selesa dan 'selamat' ketika mengikuti pengajian mereka di IPG-KBA, sama ada mereka pelajar tempatan (guru pelatih atau guru dalam perkhidmatan), atau pelajar antarabangsa.

Pihak IPG-KBA ingin sekali lagi memaklumkan sekiranya aduan dibuat mengenai perkara ini kepada pihak pengurusan, tindakan segera akan dilakukan selaras dengan standard piawaian yang diamalkan institut sejak beberapa tahun yang lalu.

Pengarah,
IPG Kampus Bahasa Antarabangsa,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 7 Januari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

http://cikguhaidi.wordpress.com/2009/12/29/guru-pelatih-diganggu-pensyarah-gatal/