Isnin, 11 Januari 2010

Buku teks baru

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


MOHD ADENAN menunjukkan sebahagian buku teks yang digunakan sekarang bersaiz lebih besar.

Kandungan menarik, saiz lebih kecil mulai persekolahan 2011

JAWATANKUASA Inovasi Buku Teks akan membuat pembaharuan bagi memperkemaskan bentuk fizikal buku teks, termasuk mengurangkan saiz hingga 20 peratus berbanding sekarang.

Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Mohd Adenan Deraman, berkata pembaharuan itu membabitkan buku teks cetakan baru berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula sesi persekolahan 2011.

Katanya, proses inovasi merangkumi usaha mengecilkan saiz buku teks itu diharap dapat mengurangkan masalah buku berat hingga menyukarkan pelajar membawanya.

Beliau berkata, proses inovasi itu antara lain bertujuan memastikan bentuk fizikal buku teks lebih mesra pelajar dan mudah dibawa ke mana-mana, selain mengurangkan kos cetakan.

“Pengstrukturan semula itu juga penting dalam usaha menghasilkan buku teks yang memenuhi aliran bahan bacaan semasa dengan memiliki ciri rekaan kreatif dan inovatif.

“Perkembangan positif ini perlu dijadikan contoh supaya buku teks tidak bersifat tradisi hingga mengurangkan minat pelajar membacanya.

“Perubahan ini diharap menjadikan buku teks bukan saja bahan rujukan pelajar, malah bacaan umum,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Adenan berkata, perubahan itu turut mengambil kira penggunaan ilustrasi dan grafik bagi memastikan persembahannya menarik dan menjadi sumber rujukan utama, selain buku tambahan.

Perubahan fizikal buku teks ini, katanya, tidak menjejaskan kandungan berdasarkan silibus yang sudah ditetapkan mengikut tahap pelajar.

“Kami akan memanggil ahli jawatankuasa pengstrukturan buku teks, antaranya wakil sektor teknikal BBT, Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit terpilih.

“Perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat bertujuan mengumpul idea sebagai panduan dalam menghasilkan buku teks bersifat kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam perbincangan itu, Mohd Adenan menjelaskan pihaknya akan mengemukakan konsep diperlukan, antaranya kandungan, persembahan dalaman, kulit dan susun atur serta saiz yang lebih bersifat mesra pengguna.

Katanya, berdasarkan konsep asas itu, penerbit diminta mengemukakan contoh terbaik bagi memastikan cadangan serta persembahan mereka dipersetujui.

Beliau berkata, pengstrukturan itu sejajar dengan penetapan 2010 sebagai "Tahun Kreativiti dan Inovasi" bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan persembahan dalam memperkemas pengurusan sesebuah organisasi.

“Kami mengharapkan proses ini membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti memenuhi keperluan pelajar dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Zainora Mohamad, berkata pihaknya yakin usaha kementerian itu menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah.

Beliau berkata, rekaan inovasi perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya penambahan kos, konsep dan pendekatan yang lebih bersifat mesra pelajar.

Selain itu, bagi mata pelajaran tertentu contohnya Geografi atau Sains, katanya, ia turut mengambil kira faktor nilai ditambah.

“Penyediaan sisipan atau lipatan antara muka surat juga perlu disediakan sesuai dengan topik dalam bab berkenaan, termasuk penggunaan gambar eksklusif,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Januari 2010

Tiada ulasan: