Rabu, 20 Januari 2010

Sistem pentadbiran Kementerian Pelajaran tidak dikemas kini

SAYA terpanggil untuk menyokong pendapat 'Guru teraniaya' yang disiarkan ruangan ini kelmarin. Mungkin ini tekanan pertama yang terpaksa beliau harungi selama bergelar guru. Walaupun saya bukan seorang guru, sebagai suami kepada seorang guru, membuatkan saya faham wujudnya birokrasi dalam Kementerian Pelajaran.

Saya adalah kakitangan kerajaan yang kini berkhidmat di Kuala Lumpur manakala isteri saya kini bertugas sebagai ustazah di Perak. Pada 2007, secara tiba-tiba isteri saya dipaksa bertukar ke Perak sedangkan pada ketika itu beliau sedang bertugas di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Saya dengan bantuan ketua jabatan membuat surat rayuan untuk isteri saya kekal di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tiada maklum balas dari Bahagian Pendidikan Islam (BPI) di Putrajaya. Tanpa menunggu lama, saya dan isteri pergi ke BPI untuk mendapat maklum balas berkaitan surat dihantar tetapi saya hanya dibenar berjumpa penolong pengarah yang juga bekas ustazah.

Sepanjang pertemuan itu, saya menerangkan kekangan yang ada seperti isteri saya sedang mengandung dan saya baru saja bertukar ke Kuala Lumpur serta memohon tempoh setahun untuk berbincang dengan jabatan saya sebelum ditukar.

Selepas selesai penjelasan saya, beliau dengan nada tinggi memberi kata dua � mahu meneruskan perkhidmatan sebagai pendidik atau mohon peletakan jawatan.

Tanpa putus asa saya dan isteri memohon setiap kali borang pertukaran keluar dan secara online. Pada penghujung tahun lalu, isteri saya mengisi borang secara online dan pertukaran dalam negeri Perak. Namun begitu kedua-dua usaha itu tidak berjaya berdasarkan alasan yang tidak boleh diterima langsung iaitu secara online tidak boleh digunakan disebabkan dokumen isteri saya masih tidak ada dalam sistem kementerian jika untuk bertukar antara negeri.

Cara kedua, borang pertukaran dalam negeri, isteri saya memohon bertukar ke Pengkalan Hulu Perak yang bersempadan dengan Kedah supaya ibu bapa saya dapat membantu isteri jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini disebabkan di Perak beliau tiada saudara mara.

Walaupun atas dasar keselamatan, permohonan itu turut ditolak oleh Jabatan Pelajaran negeri dengan alasan jawatan ustazah sudah penuh di kawasan terbabit, sedangkan ada beberapa sekolah memaklumkan memang ada kosong.

Nukilan ini bukan menagih simpati tetapi lebih kepada ketidakpuasan saya terhadap Kementerian Pelajaran itu sendiri dan dapat dilihat sistem pentadbiran yang tidak tersusun dan dikemas kini (isteri saya masih bujang jika dirujuk di Bahagian Sumber Manusia kementerian).

Sebagai rakyat saya boleh terima jika masalah diajukan diambil tindakan oleh kementerian tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku.

SUAMI SEORANG GURU,
Ampang, Selangor.

Berita Harian Online: 20 Januari 2010

Tiada ulasan: