KUALA LUMPUR: Guru besar dan pengetua menyifatkan pemilihan sekolah mereka, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebagai cabaran, amanah dan pengiktirafan terhadap usaha serta kerja kuat pentadbiran sekolah mereka bertahun-tahun.
Tidak kurang yang memuji Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mereka atas sokongan berterusan sehingga menjadikan sekolah mereka antara yang terbaik.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SMKSA) Kedah, Kartini Zakaria, menyifatkan tersenarai sebagai kelompok SBT adalah pengiktirafan dan motivasi kepada seluruh warga sekolahnya.
"Kejayaan kami menunjukkan sekolah menengah harian boleh berjaya sekiranya ada usaha dan kesungguhan dipamerkan guru, pelajar dan kakitangan sekolah. Ini akan dijadikan pemangkin dan motivasi untuk kami terus mengekalkan kecemerlangan," katanya.
Pengetua Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Ahmad Din, berkata SMSAH akan terus mengekalkan budaya kecemerlangan berterusan melahirkan modal insan bertaraf dunia.
Pengetua Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS) Putrajaya, Mohamad Kamaludin Taib, berkata pihaknya akan menambah jalinan kerjasama dengan institusi luar negara dan universiti tempatan selaras dengan status sekolah sebagai SBT.
"Pemilihan SSAS amat menggembirakan, tetapi kita juga agak bimbang kerana harapan tinggi yang akan diletakkan kepada sekolah dan pelajar," katanya.
Pengetua Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya, Rashidah Mohd Arif, berkata pengiktirafan ini adalah hasil usaha semua pihak termasuk pelajar dan ibu bapa.
Pengetua Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Abdullah Jusoh, berkata beliau akan menyusun semula urus tadbir sekolah dengan tumpuan kepada intelektual tahap tinggi, pemantapan akhlak dan sahsiah, kecergasan fizikal dan prasarana.
Berita Harian Online: 26 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Saya ingin lahirkan rasa kecewa atas sikap sesetengah guru. Kenapa perlu marah dan merotan anak2 terutamanya yang baru masuk sekolah. Sepatutnya guru menyediakan suasana sekolah yang ceria untuk murid2 ke sekolah bukan sebaliknya. Mungkin guru2 yang sedemikian tidak berminat menjadi guru TETAPI TERPAKSA menjadi guru kerana tiada pilihan kerjaya/ tidak mendapat pekerjaan kerana tidak cerdik! Ini mesti mengambil peluang yg dibuka oleh kerajaan sesiapa yg menganggur masuk KPLI. kalau tak berminat tak payah la jadi guru. Guru seorang pendidik dan sayang kepada kanak2 bukan bengis. Kecewa juga dengan sistem pendidikan negara yang asyik bertukar....WHere are we heading actually?????
Catat Ulasan