KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kementerian Pelajaran sudah bersedia menghadapi sesi baru persekolahan yang bermula 3 Januari ini termasuk kemungkinan ancaman gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, segala pengalaman menghadapi wabak itu pada 2009 akan dijadikan panduan oleh kementerian untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih baik.
Jelasnya, Jawatankuasa Persediaan Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bermesyuarat awal Disember lalu bagi memastikan segala persiapan berjalan mengikut perancangan.
"Kementerian membekalkan cecair nyah kuman (hand sanitizer) dan termometer ke sekolah-sekolah bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sendiri membasmi wabak itu.
"Pada hari pertama dan kedua persekolahan pula, pegawai kementerian diketuai jemaah nazir atau pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah akan melawat sekolah-sekolah dan membuat laporan jika ada apa-apa yang tidak kena. Dari situ, kita akan tengok apa lagi yang perlu dibuat," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Manifestasi Perdana Seni Khat 2009 di Muzium Kesenian Islam di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Yayasan Albukhary, Mohammad Nasir Daud dan Yang Dipertua, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Mohammed Yusof Abu Bakar.
Alimuddin menambah, perkara yang paling diberi perhatian jawatankuasa adalah dari aspek agihan guru yang mencukupi.
"Guru adalah perkara nombor satu. Kita akan pastikan cukup dan jika ada yang kurang, kementerian akan bersandarkan kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT).
"Selain itu, guru-guru yang telah bersara juga akan dipanggil bagi menampung kekurangan yang ada. Semua itu ada dalam perancangan dan ia bukanlah satu isu," katanya.
Utusan Malaysia Online: 2 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan