Khamis, 7 Januari 2010

Banyakkan sekolah, kecilkan bilangan murid

BARU-BARU ini masalah lebihan guru menjadi isu yang hangat. Bagi pendapat saya kita sebenarnya tidak mempunyai lebihan guru tetapi kita tidak membuat persediaan untuk menerima kehadiran mereka. Dalam hasrat kerajaan untuk melahirkan insan berilmu maka lebihan guru ini adalah satu kelebihan untuk mencapai matlamat ini.

Yang menjadi masalah sekarang ialah kita tidak bersedia dari segi infrastruktur dan kewangan untuk mencapai matlamat melahirkan warga berilmu.

Dari segi infrastruktur ialah penambahan bilik darjah dan sekolah dan dari segi kewangan ialah gaji guru dan kos pentadbiran.

Cuba kita bayangkan jika sekarang satu bilik darjah ada lebih 30 murid. Bagaimana guru hendak menumpukan pada setiap murid. Cuba kita jadikan satu bilik darjah cuma ada 15 orang, pembelajaran akan dapat diadakan dengan lebih sempurna dan pelajar dapat dididik dengan baik.

Sekiranya ini berlaku kerajaan perlu menambah sekali ganda lagi sekolah bermaksud penambahan sekali ganda lagi guru. Ini akan menyelesaikan masalah lebihan guru. Tetapi yang lebih utama ialah pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan mungkin kualiti pelajar dapat ditingkatkan.

Saya ingin cadangkan agar saiz sekolah dikecilkan tetapi bilangan sekolah di setiap daerah ditambah seperti setiap taman perumahan perlu ada sekolah. Maksudnya bilangan sekolah banyak tetapi saiz atau bilangan pelajar tak ramai. Pelajar tak ramai dan guru pun akan mudah mengawal. Apa yang terjadi sekarang ialah sekolah seperti kilang.

Saya juga cadangkan sekolah aliran pagi sahaja dan bermula pukul 9 pagi berakhir pukul 5 petang seperti waktu pejabat. Mudah untuk ibu bapa mengambil dan menghantar anak.

Saya juga ingin cadangkan agar kanak-kanak berumur enam tahun perlu memulakan persekolahan darjah satu kerana kita lihat sekarang kanak-kanak berumur lima dan enam tahun sudah bijak jadi buat apa ditangguhkan. Mungkin akan berlaku beberapa masalah teknikal sedikit tetapi setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.

Kalau dilihat bilangan sekolah rendah dan sekolah menengah tidak sama banyak. Ada lebih 5,000 sekolah rendah dan cuma 2,000 sekolah menengah. Agaknya di mana pelajar sekolah rendah yang selebihnya pergi atau mereka ini tercicir atau adakah semua pelajar sekolah rendah ini terpaksa berhimpit di sekolah menengah yang lebih kecil bilangannya.

Kerajaan perlu memandang serius masalah ini kerana ini adalah masalah pendidikan dan masa depan negara.

FAUZI ASMARA

Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 7 Januari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya setuju bil. sekolah ditambah terutamanya sekolah menengah. sy mengajar di SMK. tahun ni sahaja kami menerima hampir 800 org pelajar tingkatan 1 dan peralihan. jumlah kelas tingkatan 1 shj ada 15 kelas, dan 1 kelas diisi dengan hampir 50 org pelajar. bygkan betapa sengsaranya kami memekik sewaktu sesi P&P. keluar dari kelas selepas selesai P&P, terasa seperti baru keluar dari medan perang.