Selasa, 26 Januari 2010

'Kelas Kawalan' beri peluang pelajar bersaing

SAYA begitu tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Aminah Ayub, berkaitan kenyataannya bahawa 'Kelas Kawalan' di sekolah boleh mendiskriminasi pelajar (Utusan Malaysia Khamis 21 Januari 2010)

Pada pandangan saya, dengan wujudnya 'Kelas Kawalan' ataupun dikenali juga dengan panggilan 'Kelas Khas' bukanlah satu diskriminasi atau pun boleh menyebabkan hilangnya pendemokrasian dalam pendidikan.

Pihak sekolah melakukan itu hanyalah untuk memberi peluang dalam usaha peningkatan kemampuan pembelajaran oleh murid-murid yang lemah dan juga menyenangkan guru semasa pembelajaran dilakukan.

Dengan kaedah ini sebenarnya kita bukan menutup peluang tetapi kita membuka ruang agar wujud persaingan di kalangan murid. Kalau tidak akan wujud sikap give-up bagi yang lemah untuk bersaing dengan yang lebih berkemampuan pencapaian mereka.

Saya rasa Dr. Aminah sendiri pun bersetuju dan mahu sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mengajar di sekolah, sudah pasti akan lakukan perkara yang sama iaitu memilih 'Kelas Kawalan'. Ini adalah untuk memudahkan dari segi kawalan disiplin, memberi ruang kepada yang lebih laju kebolehannya untuk terus maju sementara yang lemah akan diasuh secara sedikit demi sedikit. Akhirnya mereka akan sampai ke penghujungnya.

Seandainya yang lemah ini diletakkan bersama yang cemerlang sudah pasti mereka akan ketinggalan. Sebagai seorang guru profesional sudah pasti kita tidak tumpukan kepada yang cemerlang sahaja dan tinggalkan yang lemah.

Berkaitan dengan konsep KBSR, saya harap usah disebut lagi kerana KBSR sudah lama berkubur. Mungkin kerana lama di menara gading Dr. Aminah tidak mengikuti apa yang berlaku di peringkat sekolah dan juga perubahan Sistem Pendidikan Negara yang terkini.

Berkaitan dengan NKRA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, saya berpendapat KPI yang akan digunakan bukan saja kepada guru-guru yang mengajar di kelas kawalan. Pengukuran juga akan dilakukan berdasar pencapaian yang dilakukan ke atas guru yang mengajar di kelas-kelas yang bukan kawalan.

Mungkin cara pengukuran saja yang berbeza. Mungkin sasaran pencapaian di kelas kawalan mesti dapat semua A tapi bagi guru yang mengajar di kelas yang lemah, sasarannya mungkin dari D ke C dan dari C ke B.

Saya harap dengan terlaksananya kaedah 'Kelas Kawalan' ini janganlah Dr. Aminah prejudis terhadap profesionalisme guru-guru di sekolah. Ia berbeza dengan keadaan di universiti.

MOHAMAD ISMAIL

Setiausaha Agung,

Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(KONGRES)

Utusan Malaysia Online: 26 Januari 2010

Tiada ulasan: