Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my
USAHA sekolah di Pahang mewujudkan bilik atau lorong Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) bukan sekadar mematuhi arahan, tetapi bersungguh menjadikannya landasan terbaik menghindari penyalahgunaan najis itu.
Usaha itu membuahkan hasil membanggakan bukan saja dari segi pendedahan maklumat mengenai musuh utama negara itu kepada pelajar, malah turut menjadi sesuatu yang perlu ada di sekolah negeri berkenaan.
Ketua Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Jabatan Pelajaran Pahang, Abdullah Sani Abdul Rahman, berkata kini semua sekolah di negeri itu mewujudkan bilik atau lorong PPDa mengikut kemampuan.
“Hasil paling penting, usaha ini mencapai matlamat untuk memberi kesedaran dan mendidik pelajar tentang bahaya dadah sejak di bangku sekolah lagi.
“Impaknya bukan saja kepada pelajar, malah ibu bapa serta masyarakat setempat turut mendapat pendedahan sama ketika ke sekolah untuk mengambil anak atau berurusan dengan pentadbir,” katanya kepada Berita Harian.
Sambil menjelaskan sekolah di Pahang membuktikan usaha mereka tidak sia-sia, Abdullah Sani berkata, pewujudan bilik atau lorong PPDa itu turut diiktiraf apabila meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan sejak empat tahun lalu.
Tahun lalu, katanya, semua empat sekolah mewakili Pahang menang dalam pertandingan bilik dan lorong PPDa peringkat kebangsaan.
Wakil terbabit, Sekolah Kebangsaan Gau, Temerloh muncul johan Bilik PPDa Sekolah Rendah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, Jerantut pula johan Bilik PPDa Sekolah Menengah
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultah Haji Ahmad Shah, Cameron Highlands johan kategori Lorong PPDa Sekolah Menegah, sementara Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, tempat kedua Lorong PPDa Sekolah Rendah.
“Pertandingan peringkat sama tahun sebelumnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Maran muncul johan kategori Bilik PPDa Sekolah Menengah, manakala Bilik PPDa Sekolah Rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Bentong.
“Bagi kategori Lorong PPDa Sekolah Menengah dan Rendah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak dan Sekolah Kebangsaan Mempaga, Bentong, masing-masing naib johan,” katanya.
Lebih membanggakan, Abdullah Sani berkata, banyak sekolah negeri lain melawat sekolah di Pahang untuk melihat sendiri dan berkongsi pengalaman yang dilaksanakan.
Berita Harian Online: 19 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan