Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Setiap 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan menerima peruntukan tambahan berjumlah RM700,000 setahun bagi tujuan penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu juga adalah bagi tujuan pemantapan latihan guru, pengukuhan bidang kebitaraan sekolah dan pembiayaan aktiviti kurikulum murid.
“Setiap sekolah memang dapat peruntukan RM700,000 setiap tahun. Tapi oleh kerana mereka (sekolah) berjaya sampai ke peringkat SBT, kita bagi tambahan RM700,000.
“Tapi mereka kena patuhi peraturan kewangan yang ditetapkan dan tidak boleh belanja sesuka hati,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan SBT di Sekolah Menengah Aminuddin Baki di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata, peruntukan itu akan diberikan sekali gus kepada semua 20 sekolah yang diumumkan sebagai SBT, baru-baru ini.
Ditanya mengenai kuasa autonomi yang diberi kepada sekolah itu, Muhyiddin berkata sekolah berkenaan masih tertakluk kepada dasar pendidikan ditetapkan Kementerian Pelajaran.
“Ini termasuk pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana mereka tetap tertakluk pada dasar yang kita tetapkan.
Muhyiddin berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan pengetua dan guru besar semua 20 SBT untuk menjelaskan pelaksanaan SBT.
Beliau meminta sekolah yang tidak terpilih dalam kelompok SBT supaya tidak berkecil hati kerana program pemilihan itu adalah berterusan dan semua sekolah mempunyai peluang untuk disenaraikan sebagai SBT.
“SBT akan menjadi model untuk semua sekolah sampai ke tahap itu. Mungkin selepas ini, kita akan hubungkan pengetua dan guru besar SBT dengan pengetua sekolah lain,” katanya.
Berita Harian Online: 30 Januari 2010
1 ulasan:
Yang di depan akan terus ke depan...jauh meninggalkan yang di belakang....yang di belakang akan terus keterbelakangan....Apakah faktor pentadbir yang menentukan sesebuah sekolah SBT..??? Guru??? sekiranya kedua faktor ini merupakan penyebab...maka, cuba2lah KPM menukarkan pengetua dan guru cemerlang ini ke sekolah yang bukan SBT....supayasekolah bukan sekolah SBT ini akan mencapai tahapnya seperti mana dilakukan oleh pentadbir dan guru SBT...
Catat Ulasan