Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
MUHYIDDIN memalu gong ketika merasmikan Kongres Antarabangsa Ke-23 Untuk Penambahbaikan dan Keberkesanan Sekolah (ICSEI) 2010 di KLCC, semalam. |
Program pembangunan profesional berterusan pertingkat kualiti: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Kerajaan ada keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kualiti guru adalah laluan ke arah pendidikan cemerlang, sekali gus menjadi tulang belakang pencapaian sekolah dan menentukan hasil pelajar, malah kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti guru.
Dalam konteks itu, katanya, program pembangunan profesional yang berterusan menyasarkan kepada matlamat mempertingkat kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.
"Usaha juga mesti dilakukan bagi menarik lebih ramai berkebolehan untuk memasuki profesion keguruan dengan membangunkan proses pemilihan berkesan tinggi dan menawarkan laluan kerjaya menarik," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Antarabangsa Ke-23 Untuk Penambahbaikan dan Keberkesanan Sekolah (ICSEI) 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kongres selama empat hari itu bertema 'Empowering Schools for Leaning: From Improvement Policy to Effective Practice' dan dihadiri kira-kira 600 peserta dari dalam dan luar negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan amat komited terhadap usaha meningkatkan kualiti guru dan antara langkah diambil ialah menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah.
Di samping itu, beliau berkata, langkah turut diambil untuk meningkatkan tahap kelayakan akademik guru dengan memperkenalkan Program Khas Pensiswazahan untuk pegawai pendidikan bukan siswazah serta mereka yang dalam perkhidmatan.
Katanya, program itu memberi peluang kepada guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran melalui pengajian jarak jauh, selaras matlamat kementerian untuk meningkatkan bilangan guru siswazah di sekolah rendah dan menengah.
Malah, beliau berkata, kementerian menggariskan strategi memartabatkan profesion keguruan dengan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada mereka.
Berita Harian Online: 6 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan