SEREMBAN 26 Jan. - Dua buah sekolah di negeri ini yang terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) berazam untuk terus meningkatkan kecemerlangan agar kekal dalam senarai sekolah terpilih itu pada masa depan.
Pengetua SDAR, Zakaria Md. Zin berkata, untuk mengekalkan status SBT, pihaknya sedang merangka pelan strategik khas yang dikenali Broad Front.
Katanya, pelan itu bukan sahaja merangkumi usaha mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga kejayaan dalam bidang kokurikulum dan pembinaan sahsiah yang unggul.
''Model khas ini juga akan menjadi landasan kepada pihak kami dalam memastikan setiap strategi mencapai objektif yang ditetapkan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan SDAR dan TKC sebagai antara 20 buah sekolah yang terpilih sebagai SBT di negara ini.
Pengumuman itu membolehkan 20 buah sekolah yang tersenarai itu mendapat keistimewaan kuasa autonomi tambahan untuk menaik taraf martabat sistem pendidikan negara ke arah bertaraf dunia.
Katanya, warga SDAR perlu merebut segala peluang yang diberikan bagi menjadikan sekolah itu salah satu institusi pendidikan yang terulung di negara ini.
''Saya juga menyeru kepada warga SDAR bersama-sama untuk bekerja sebagai satu pasukan dan keluarga yang hebat bagi mencapai visi sekolah ini.
''Di samping itu, empat tonggak utama menjadi panduan warga SDAR iaitu bekerja lebih keras, bekerja dengan konsisten, berdisiplin dan bermoral," ujarnya.
Sementara itu, Pengetua TKC, Che Kamaliah Endud berkata, pengiktirafan sebagai SBT mencerminkan kejayaan bersama seluruh warga sekolah itu.
''Seluruh warga TKC mempunyai peranan dalam mencapai kejayaan ini. Walaupun sebagai seorang tukang kebun, mereka tetap punya sumbangan terhadap sekolah ini.
''SBT dinilai daripada seluruh aspek pendidikan dan pengurusan. Sekiranya ada seorang warga TKC yang gagal menjalankan peranannya, maka pincanglah prestasi sekolah ini,'' katanya.
Dalam pada itu, jelas Che Kamaliah, pihaknya telah menyelaraskan pelbagai strategi termasuk menekankan aspek kepimpinan dan mewujudkan jaringan antarabangsa ke arah meneruskan kecemerlangan prestasi sekolah itu.
''Kita melatih pelajar-pelajar di sini untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan latihan ini merangkumi pengurusan masa, pengucapan awam, pengurusan organisasi dan sebagainya.
''Di samping itu, pihak sekolah turut menjalankan program antarabangsa bersama sekolah di luar negara. Ini meliputi sekolah dari Britain, Korea Selatan, Singapura dan Jepun,'' ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 27 januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan