Rabu, 27 April 2011

Ibu bapa berdemonstrasi depan sekolah

SHAH ALAM 26 April - Seramai 30 ibu bapa yang kecewa dengan kegagalan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menangani kes pergaduhan pelajar di sekolah itu baru-baru ini, mengadakan perhimpunan aman semalam.

Perhimpunan selama 20 minit itu diadakan di luar pagar utama sekolah berkenaan bermula pukul 12.45 tengah hari.

Seorang ibu kepada pelajar terbabit, Kia Ooi Meng, 50, berkata, dia tidak berpuas hati dengan sikap 'lepas tangan' pentadbiran sekolah dalam menyelesaikan kes pukul melibatkan anaknya yang juga seorang pengawas.

Katanya, dalam kejadian 13 April lalu, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera akibat dibelasah oleh sekumpulan lapan pelajar tingkatan empat.

"Saya risau keselamatan anak saya kerana lapan pelajar terlibat masih ada di sekolah," katanya ketika ditemui di sini.

Dia mendakwa, sikap lepas tangan itu telah menyebabkan satu pergaduhan yang lebih besar berlaku melibatkan dua kumpulan pelajar pada 20 April lalu sehinggakan 23 pelajar diambil keterangan.

Sementara itu, Stephen Perumal Velu pula berkata, dalam insiden pergaduhan pada 20 April lalu, anaknya merupakan salah seorang daripada 23 pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Dia mendakwa, semasa kesemua pelajar termasuk anaknya dibawa ke balai polis, pihak sekolah langsung tidak memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, insiden pergaduhan di SMK Taman Sri Muda sedang dalam perhatian pihaknya.

Sementara itu, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar di sekolah itu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, laporan pertama pada 13 April lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga yang didakwa cedera dipukul di dalam kelas disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.

Beliau berkata, kes kedua melibatkan pergaduhan dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima yang dilaporkan pada 20 April lalu pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan.

Utusan Malaysia Online: 27 April 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum wbt dan salam 1 malaysia.
Oleh kerana kes Pelajar berkenaan :
Kes 1 disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Kes 2 disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Maka ianya secara rasmi sudah menjadi Kes Polis dan dalam siasatan. Oleh itu kita berserah sahaja kepada pihak Polis untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberi dan diterima.
Pihak ibubapa tidak boleh mengganggu kerana kes ini dalam siasatan.

Berbalik kepada ibubapa yang berdemonstrasi (mengikut kata pihak media sptmana yang dilaporkan), yang isunya adalah 'tidak berpuashati dengan sikap pihak sekolah' saya ingin memberi sedikit ulasan.
Menyatakan perasaan tidak berpuashati secara berdemonstrasi oleh ibubapa ini seharusnya dielak. Kita tidak perlu terikut dengan picisan budaya jalanan.

Ibubapa seharusnya menggunakan saluran yang berhemah antaranya mohon temujanji untuk berjumpa dengan guru besar/pengetua(GB/P). (GB/P seharusnya berani berhadapan dengan ibubapa dan bukan bersifat menikus).
Memorandum bantahan perlu diserah kepada GB/P sebagai bukti 'tidak berpuashati dengan pihak sekolah'.
Jika GB/P enggan berjumpa kita mempunyai saluran kedua iaitu melalui PIBG. Jika juga tidak berkesan, kita boleh bawa ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Pengarah Negeri, Menteri.

Apakah matlamat ibubapa itu sebenar?
1. Menganggu kes polis ? jawabnya tidak.
2. Menyatakan perasaan tidak berpuashati kepada pihak pengurusan sekolah? jawabnya ya. Pihak sekolah seharusnya bijak mengurus ibubapa ini.

sekadar pandangan peribadi.
-ibubapa prihatin, jelawat, bachok.