Selasa, 12 April 2011

Kementerian peka keperluan pensyarah kolej matrikulasi

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia ingin merujuk kepada surat Pensyarah Matrikulasi dalam ruangan ini pada 6 April 2011 bertajuk 'Nasib Pensyarah Matrikulasi.

Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat menghargai jasa dan bakti yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah kolej matrikulasi dalam mendidik pelajar. Sehubungan itu, Bahagian Matrikulasi sentiasa peka dan prihatin di atas keperluan pensyarah-pensyarah di semua kolej matrikulasi.

Pertukaran pensyarah kolej matrikulasi adalah merujuk kepada dasar pertukaran pensyarah kolej matrikluasi. Kelulusan pertukaran pensyarah kolej matrikulasi juga tertakluk kepada kekosongan dan keperluan di kolej matrikulasi yang dimohon. Pertukaran pensyarah pada dasarnya akan hanya dilakukan setahun sekali dan diputuskan dalam mesyuarat panel pertukaran di peringkat Bahagian Matrikulasi.

Dasar pertukaran pensyarah kolej matrikulasi telah menetapkan bahawa seorang pensyarah boleh dipertimbangkan permohonan pertukaran sekiranya telah berkhidmat di kolej berkenaan lebih daripada tiga tahun sebelum boleh diluluskan permohonan pertukarannya.

Sekiranya tiada kekosongan di kolej yang dimohon, maka permohonan pertukaran tidak dapat dipertimbangkan untuk tahun semasa. Kelulusan pertukaran adalah tertakluk kepada keperluan kolej yang dimohon seperti mengisi jawatan mengikut keperluan mata pelajaran.

Bagaimanapun, pihak kementerian amat peka dan perihatin serta memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap kes-kes khas seperti faktor kesihatan yang kritikal yang dialami oleh pensyarah yang memerlukan pemeriksaan kesihatan di tempat yang dipohon. Pemohon perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada pegawai perubatan kerajaan untuk mengesahkan penyakit yang dihadapi.

Penempatan guru-guru sekolah dan pegawai KPM yang mendapat kenaikan pangkat juga mengikut prosedur dan kekosongan serta keperluan yang ada di kolej-kolej matrikulasi. Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada kumpulan ini dan penempatan adalah bergantung kepada kekosongan mengikut opsyen di semua kolej matrikulasi.

Bahagian Matrikulasi menerima banyak permohonan pertukaran pensyarah setiap tahun dengan pelbagai alasan. Setiap permohonan diteliti dan disesuaikan dengan kekosongan yang sedia ada di kolej yang dipohon. Slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sentiasa menjadi amalan semua pegawai KPM.

Pada masa kini terdapat 13 buah kolej matrikulasi iaitu 10 buah kolej matrikulasi dan tiga buah kolej matrikulasi teknikal.

Dengan bilangan kolej matrikulasi yang terhad ini, maka proses pertukaran memerlukan pertimbangan yang teliti agar tiada berlaku kelas-kelas yang tiada pensyarah disebabkan tiada pengganti untuk pensyarah yang diluluskan pertukaran.

KPM sentiasa memastikan perkara ini tidak berlaku dan justeru yang demikian sesetengah permohonan bertukar tidak dipertimbangkan demi keperluan perkhidmatan.

Utusan Malaysia Online: 12 April 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tuan,saya telah berkhidmat selama 8 tahun di sebuah kolej matrikulasi.Selama ini,saya hidup berjauhan daripada kedua-dua orang tua saya,yang mana ibu saya sekarang menghidap penyakit kencing manis.Saya telah berkahwin,sejak 3 tahun lepas.Saya juga hidup berjauhan dari isteri saya sehingga kini.Permohonan saya untuk bertukar tidak diendahkan.