Rabu, 6 April 2011

Perkhidmatan awam lebih kejap

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2011/04/06

Jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan, diguna sepenuhnya: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yasin mahu jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan bagi menghasilkan perkhidmatan awam yang kejap selain memastikan tiada tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu boleh dilakukan melalui penjajaran fungsi bahagian bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong, pemansuhan jawatan serta pengagihan semula jawatan ke agensi yang lebih kritikal.
“Kita ada ramai pegawai di kementerian dan kita mahu memastikan tenaga kerja pegawai kita digunakan sepenuhnya selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sesetengah sektor kita memerlukan tenaga manusia lebih tapi ada sesetengah sektor mempunyai tenaga kerja pegawai yang seolah-olah tidak digunakan sepenuhnya,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Pada majlis itu juga Muhyiddin melancarkan tema Hari Guru, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ yang akan disambut di Kuching, Sarawak, bulan depan.

Sebanyak 81.2 peratus atau 438,480 daripada kira-kira 540,000 kakitangan Kementerian Pelajaran adalah guru.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, perkhidmatan awam yang kejap perlu dibentuk di kementerian bagi mewujudkan jentera yang cekap, produktif, kreatif dan inovatif selain mementingkan hasil pencapaian.

Beliau berkata, kementerian juga memerlukan anjakan paradigma dari segi strategi, struktur pengurusan dan kakitangan berkualiti dengan sikap yang terbuka dalam menerima pandangan serta cadangan.

“Ini adalah perkara asas transformasi. Mungkin hari ini kita mencapai sasaran yang diletakkan tahun lalu tetapi jika tidak diusahakan secara berterusan mungkin tahun akan datang ia akan menurun, justeru, untuk menjadi lestari, kita perlu bekerja keras selalu,” katanya.

Berita Harian Online: 6 April 2011

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam 1 malaysia.
1). Audit Perjawatan perlu dilaksanakan.
2). Fungsi Bahagian perlu dijenamakan semula.
3). Agensi-agensi yang berkaitan KPM perlu dikenalpasti semula.
4). Kaji balik semua SOP.
-bp

Tanpa Nama berkata...

Di JPN, Unit Kualiti perlu dimasuhkan shj. Tak ada fungsi pun. Ada pegawai pun, rajin melawat ke sekolah-sekolah hampir setiap hari. Pastu... bagi idea yg mengarut. Bukannnya na mengurangkan beban tugas guru.

kamanuk berkata...

Khas Sabah:

Gred Perjawatan di semua PPD hendaklah diubahsuai sesuai dengan peredaran masa.

1. Penyelia-DGAS32DGA34 -DGA38(SK)
2. Penyelia -DG44 diwujudkan utk SM
3, Ketua Unit DG44 ke DG48
4. T/Pegawai PPD DG48 kanan
5. PPD - DG48 ke DG52

Rasional:

1. Tidak sesuai pegawai DG32 memberi arahan kepada guru-guru DG41/DG44 ( terbalik dunia)

2. Tidak layak Ketua Unit DG44 dan PPD DG48 memberikan teguran kepada Pengetua DG52/DG54.

(pegawai gred rendah mana patut dan tidak patut memberikan arahan kepada pegawai Gred tinggi)

Tanpa Nama berkata...

Setuju....sebenarnya di KPN,JPN,PPD tak perlu pengambilan baharu pegawai dlm kalangan DGA 29, 32, 34.38. Dah tidak releven lagi. Mulakan pengambilan baharu dgn sekurang-kurangnya DG41 dan ke atas.

TAPI, jgn pulak suruh PPPLD di KPM,JPN,PPD ni turun ke sekolah. Malulah pula mereka. Yg sedang berkhidmat diteruskna, TETAPI pengambilan baharu pegawai hendakla spt yg dicadangkan.