Sabtu, 21 Februari 2009

Aksi panas: Guru wanita bayar pelajar RM40,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hadzlihady Hassan
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki mengaut keuntungan hampir RM40,000 sejak setahun lalu dengan menjadikan gambar ‘panas’ guru wanita yang mengajar mereka tuisyen sebagai mangsa peras ugut.

Guru wanita terbabit berusia 37 tahun dikatakan teraniaya apabila tindakannya mencium seorang daripada pelajar berkenaan secara paksa dirakam mereka.

Sejak itu, guru itu diugut menyebabkan dia terpaksa menanggung bebanan hutang jika tidak mahu gambar berkenaan jatuh ke tangan suaminya.

Wanita terbabit yang mempunyai dua anak bimbang dengan ugutan dua remaja berkenaan terpaksa membayar wang diminta mereka kerana tidak mahu rumahtangganya bergolak disebabkan gambar aksi panas itu.

Menurut sumber, guru wanita itu mengajar subjek Matematik dan dia memang agak rapat dengan pelajar berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, sumber berkata guru wanita terbabit terjerat apabila dia yang mengajar kelas tambahan kepada anak muridnya membawa mereka keluar makan awal tahun lalu.

“Ketika itu, pelajar berkenaan turut membawa seorang lagi rakannya berusia 19 tahun kononnya menemani mereka keluar makan.

“Namun, sejurus makan mereka masuk ke dalam kereta yang diletakkan berhampiran kawasan restoran itu untuk pulang,” katanya.

Menurutnya, ketika itulah pelajar terbabit secara tiba-tiba mengambil kesempatan mencium guru wanita itu secara paksa sebelum rakannya mengambil gambar aksi perlakuan mereka.

“Sejurus mengambil gambar aksi panas itu, dua remaja terbabit mengugut guru wanita itu supaya membayar wang kepada mereka jika tidak mahu foto berkenaan terlepas ke tangan suaminya.

“Takut dengan ugutan itu dan bimbang rumah tangganya bergolak, wanita terbabit setuju membayar sejumlah wang kepada mereka,” katanya.

Namun, sejak itu, bermulalah satu episod hitam buat wanita terbabit apabila kedua-dua remaja itu mengambil kesempatan mengugutnya setiap kali mereka mahukan wang hingga menyebabkan dia terpaksa menanggung bebanan hutang.

Sumber berkata, kerana khuatir gambar aksi panas itu diketahui suami, wanita terbabit terpaksa meminjam wang dari bank, saudara dan rakan-rakanya hanya kerana mahu memenuhi permintaan dua remaja itu.

“Namun, rahsia yang disembunyikan terbongkar apabila suami wanita terbabit curiga selepas melihat surat pinjaman bank yang sampai di rumah mereka.

“Selepas didesak, wanita terbabit akhirnya menceritakan kejadian dia diugut dua remaja berkenaan,” katanya.

Wanita berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung kejadian itu Sabtu lalu.

Susulan daripada laporan itu, dua remaja terbabit ditahan Isnin lalu di Setapak dan direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan namun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu.

myMetro: 20 Februari 2009

1 ulasan:

Sisipan Ilham berkata...

mengapa dari mula perlu dilayan kehendak bebudak tu. nak bebaik biarlah berpada. dah terkena masih pula pendek akal. kesian sunggoh guru ini tetapi lebeh kesian dia bertindak sangat tidak bijak.