|
|
JOHOR BAHRU 22 Feb. - Pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap menghina bahasa Melayu kerana tidak yakin dengan kemampuan bahasa itu untuk menguasai ilmu.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, PPSMI direstui oleh kebanyakan ahli politik 'bermusim' dan bukannya negarawan yang mengetahui kepentingan bahasa ibunda.
"Saya menyertai Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) agak lewat juga namun tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangannya, mengapa kita meragui kemampuan bahasa sendiri?
"Perlu diingat tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan perhimpunan raksaksa di Istana Negara Kuala Lumpur bagi membantah PPSMI di sini hari ini.
Perhimpunan itu akan diadakan bermula pukul 2 petang pada 7 Mac ini dan GMP menyasarkan 100,000 orang akan menyertai perhimpunan itu.
A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, usaha membantah PPSMI telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya dan bukan hanya dibangkitkan setelah enam tahun PPSMI dilaksanakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Sejak sekian lama, kita berjuang namun mungkin orang ramai tidak nampak kerana ahli bahasa ini biasanya sopan dan sabar.
"Satu waktu dahulu, lebih daripada 60 profesor memberi pandangan menentang PPSMI namun tak didengar oleh pihak berwajib," katanya.
Sementara itu, penulis terkenal, Ainon Mohd. sependapat tentang kepentingan bahasa ibunda kepada sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.
"Sewaktu Rom menjajah Eropah, mereka memaksa orang Eropah menggunakan bahasa Latin dan sepanjang tempoh penjajahan itu Eropah berada dalam zaman kegelapan.
"Namun setelah pemberontakan berlaku, mereka bebas daripada penjajahan, dan menggunakan bahasa mereka sendiri sehingga Eropah muncul sebagai negara maju," katanya.
Menurut beliau, kajian pakar dari seluruh dunia juga membuktikan bahawa subjek Sains dan Matematik lebih mudah dikuasai jika diajar menggunakan bahasa ibunda.
"Kita perlu melihat kembali bagaimana untuk meningkatkan lagi mutu, kaedah, pengajar dan semua aspek berkaitan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bahasa Inggeris.
"Konsep dalam Sains dan Matematik juga bukan bahasa pertuturan seharian yang membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.
Utusan Malaysia Online: 24 Februari 2009
1 ulasan:
Saya berpendapat - hanya sebilangan kecil sahaja rakyat Malaysia yang menentang PPSMI. Yang menentang adalah mereka yang ada kepentingan. Cuba kita bagi dua pilihan kepada ibu bapa - (A)menghantar anak ke sekolah yang mengajar Sains dan Matematik dalam BI, (B)menghantar anak ke sekolah yang mengajar Sains dan Matematik dalam BM. Saya yakin, lebih ramai yang akan memilih (A). Semua ibu bapa tahu bahawa dalam jangka masa panjang, "advantage" adalah kepada anak mereka jika mengikuti PPSMI.
Catat Ulasan