Oleh Zainor Said
zaino@bharian.com.my
APABILA terbaca laporan Berita Minggu baru-baru ini mengenai sikap pelajar yang enggan membawa buku teks ke sekolah, teringat penulis kepada satu lagi isu yang juga berkaitan buku sekolah iaitu isu beg berat, yang heboh diperkatakan beberapa tahun yang lalu.
Isu itu menjadi hangat dan mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik sehingga masyarakat mendesak Kementerian Pelajaran menjalankan kajian khusus untuk menangani isu berkenaan. Seterusnya isu itu berjaya diatasi Kementerian Pelajaran dengan memperkenalkan jadual waktu anjal di setiap sekolah, terutama sekolah rendah.
Sejak awal isu itu diperdebatkan, penulis tidak berapa setuju ia diperbesarkan. Bagi penulis, isu beg berat cukup remeh dan ia hanya diperbesarkan di kalangan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak, terutama warga kota.
Kita semua maklum, setiap kelas mempunyai jadual waktu untuk menentukan apakah buku yang harus dibawa setiap hari. Sebanyak manakah beg sekolah boleh diisi dengan buku. Lainlah kalau pelajar disuruh membawa semua buku tanpa mengikut jadual.
Bagi penulis, isu itu dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan guru, tanpa campur tangan mana-mana pihak, sama ada ibu bapa mahupun Kementerian Pelajaran. Berbanding dengan zaman penulis menjadi pelajar dulu, beg sudahlah berat, terpaksa pula berjalan kaki berkilometer jauhnya, berulang alik ke sekolah.
Bagaimanapun, soal beg beg berat tidak pernah ditimbulkan. Itulah mantapnya pelajar zaman dulu berbanding pelajar sekarang. Setakat menggalas beg yang berat berisi buku, tidak menjadi hal. Apa yang menjadi masalah hanyalah beg yang digunakan itu cepat koyak dan terpaksa diganti baru.
Sepatutnya kita harus bersikap positif mengenai perkara itu. Beg yang digalas ke sekolah setiap hari, ibarat kita menggalas ilmu yang begitu bernilai dan tinggi martabatnya. Ia harus selalu berada bersama kita. Biarlah pelajar berkorban sedikit dan belajar menghargai buku dan sedar bahawa bukan mudah untuk berjaya dan menjadi manusia cemerlang.
Lagi pun kebanyakan pelajar hari ini, bukannya berjalan kaki ke sekolah. Mereka menaiki bas atau dihantar oleh ibu bapa. Paling tidak pun mereka menunggang basikal. Membawa beg yang agak berat ke sekolah juga boleh melatih pelajar menjadi kuat dan lasak. Ia satu bentuk latihan yang baik dan mencabar.
Ekoran daripada isu beg berat itu, kini timbul pula isu baru. Tetapi ia amat berlawanan berbanding isu beg berat. Menurut laporan Berita Minggu baru-baru ini, ramai pelajar kini enggan membawa buku teks ke sekolah. Barangkali inilah kesannya jika pelajar sudah ditanam untuk tidak menghargai buku, yang sepatutnya dianggap sebagai teman pelajar.
Agak menghairankan, macam mana pelajar mengikuti pelajaran di dalam kelas tanpa merujuk buku teks dan masalah itu dibiarkan sehingga menjadi satu budaya. Jika benar laporan itu sehingga menjadi budaya ramai pelajar kini, bermakna ia bukannya perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.
Bagaimana guru boleh mengajar dengan pelajar tidak mempunyai buku teks masing-masing. Pada zaman penulis menjadi pelajar dulu, memang ada pelajar yang tidak membawa buku teks kerana terlupa. Selain dimarahi guru dan diberi amaran, pelajar disuruh berkongsi dengan pelajar lain yang mempunyai buku teks.
Ada beberapa alasan diberikan pelajar terbabit mengapa enggan membawa buku teks ke sekolah. Pertama mereka mengatakan beg berat, kedua kerana malas, dan ketiga mereka menyalahkan guru kerana tidak menggunakan buku teks ketika mengajar.
Masalah ini barangkali ada kaitannya dengan kesan isu beg berat yang dianggap menjadi beban kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah rendah. Akibatnya mereka tidak tahu menghargai buku yang seharusnya dibawa ke sekolah setiap hari.
Alasan guru tidak menggunakan buku teks ketika mengajar tidak boleh dijadikan sebab untuk mereka enggan membawa buku teks ke sekolah, walaupun benar guru tidak selalu mengajar berpandukan buku teks. Kita harap isu ini tidak berpanjangan dan harus ditangani guru dengan bijaksana.
Selain itu ibu bapa juga tidak sepatutnya lepas tangan dan membiarkan masalah itu ditangani sepenuhnya pihak sekolah. Sebelum masalah itu bertambah serius, ibu bapa harus memeriksa beg yang dibawa anak mereka ke sekolah dari semasa ke semasa untuk memastikan beg yang dibawa berisi buku yang sepatutnya.
Kita juga bimbang kerana ada sesetengah pelajar yang mengisi beg sekolah dengan pakaian harian untuk dipakai selepas waktu sekolah dan berpeleseran di pusat hiburan dan tempat yang tidak sepatutnya. Jika ini dibiarkan berlaku, tidak hairanlah ramai pelajar yang terjebak dengan masalah sosial seperti merokok, penagihan dadah dan pelbagai masalah disiplin lain.
Berita Harian Online: 13 Februari 2009
2 ulasan:
Penulis perlu ingat, buku-buku zaman penulis dulu tidak banyak berbanding dengan buku-buku yang anak kita zaman sekarang. Jangan bandingkan zaman penulis dengan zaman anak-anak kita. Ini bukan kes manja atau tidak, ini melibatkan isu kesihatan tulang belakang anak-anak kita.
saya setuju dgn penulis..isu beg sekolah berat tidak perlu dperbesarkan..masalah ksihatan yg dikaitkan hanya sekadar alasan..sy sebagai pelajar, tidak menjadi masalah dgn beg berat krn buku yg dibawa mengikut jadual..sbg cth buku BM..ckgu sy mengasingkan jadual spt bm tatabhsa pd hri isnin,pnulisan pd hari selasa dan pmahaman pd hari khamis..jd hanya perlu bawa pling bnyk 3buku shja utk subjet bm..hal yg sama dlakukan oleh guru mataplajaran lain..jd, isu ini spatutnya x perlu dpbsarkn..
Catat Ulasan