Rabu, 25 Julai 2012

1,779 guru PPPS cemerlang naik pangkat

HUSSAIN Awang (tengah) menyerahkan memo kenaikan pangkat DG41 ke DG44 kepada guru pada Majlis Penyerahan Memo tersebut di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 23 Julai - Seramai 1,779 guru di bawah skim Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) di negeri ini telah menikmati kenaikan pangkat secara time base pada tahun ini.
Daripada jumlah tersebut seramai 1,399 guru telah dinaikkan pangkat ke DG44, manakala 175 lagi DG48, 143 (DG52) dan 62 (DG54).
Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, kenaikan pangkat itu berasaskan kepada kecemerlangan guru berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, guru terbabit sewajarnya bersyukur kerana ia turut melibatkan kenaikan gaji mereka.
“Sekiranya pada pembentangan Bajet 2011 mereka menerima kenaikan sebanyak 13 peratus, dengan kenaikan gred itu lebih banyak tambahan diterima.
“Sewajarnya, mereka bersyukur kerana bekerja di bawah Kementerian Pelajaran yang prihatin dengan kebajikan guru," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Memo Kenaikan Pangkat PPPS Gred DG41 ke DG44 secara time base kepada 137 guru sekitar daerah ini di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai PPD Kota Bharu, Che Abb. Aziz Daud.
Menurut Hussain, banyak keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menghargai sumbangan yang diberikan warga guru di negeri ini.
“Kenaikan pangkat ke DG44 dan DG48 juga telah dipendekkan dari 10 tahun kepada lapan tahun sementara ke DG52 enam tahun dan DG54 pula tiga tahun.
“Kerajaan Persekutuan telah melaksana dan menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 44 pelajar telah ditahan kerana ponteng sekolah setakat ini dengan daerah tertinggi adalah Kota Bharu membabitkan 29 pelajar.
Mengenai pelajar ponteng puasa pula, Hussain berkata, pihak jabatan setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan operasi menahan mereka kecuali menerima aduan daripada orang ramai.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012

Tiada ulasan: