KUALA LUMPUR 18 Julai - Langkah membenarkan para
pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan
tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa
berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap
fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar
berkemampuan dan kurang berkemampuan.
''Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan menganggu fokus
para pelajar ketika di dalam kelas,'' katanya ketika dihubungi di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri
Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong kelmarin, berhubung kebenaran kepada
pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke
sekolah mulai tahun depan seperti yang digariskan menerusi Draf
Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012.
Tokoh pendidik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut mempunyai pandangan sama.
Menurut beliau, penggunaan peralatan itu di sekolah dilihat tidak
memberi manfaat terhadap peningkatan mutu pembelajaran pelajar.
"Kerajaan perlu memperhalusi cadangan ini dengan sebaik-baiknya
kerana bimbang kesannya terhadap institusi sekolah, hubungan antara guru
dan pelajar serta masa depan negara," katanya.
Menurut Kay Kim, kerajaan juga harus mencorak sistem pendidikan
mengikut acuan sendiri agar ia dapat membantu ke arah kemajuan dan
kecemerlangan sistem pendidikan negara.
"Jika ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih
banyak kebaikan dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja,"
katanya.
Seorang lagi tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pula berpendapat, kebenaran membawa alat telekomunikasi itu dibimbangi akan disalahgunakan oleh pelajar.
"Daripada aspek keselamatan, saya melihat ia memang wajar dibenarkan
agar ibu bapa sentiasa boleh berhubung dengan anak-anak mereka.
"Tetapi dari sudut persekolahan, saya bimbang ia menjejaskan tumpuan
pembelajaran, disalahgunakan, menambahkan beban guru untuk memantau
sewaktu proses pembelajaran selain berlakunya kes-kes kecurian,"
katanya.
Dalam pada itu, Tokoh Guru Kebangsaan 2010, Awang Mohamad
berkata, langkah tersebut tidak perlu dibuat dengan terburu-buru
memandangkan suasana di dalam kelas tidak menuntut pelajar menggunakan
peralatan canggih tersebut.
Utusan Malaysia Online: 19 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan