PUTRAJAYA 16 Julai - Kementerian Pelajaran
sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang
akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon
bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya
bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat
komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran
dan pembelajaran di kelas.
Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke
sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira
faktor keselamatan pelajar.
''Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian
Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini
bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gelaja Displin Murid di sini hari
ini.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kebenaran penggunaan iPad adalah
selari dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian yang semakin
popular di negara ini.
''Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan cara pembelajaran dalam
talian iaitu 1BestariNet mulai tahun depan, kaedah pembelajaran ini akan
semakin berleluasa di negara ini.
''iPad juga mempunyai fungsi perbualan, alat komunikasi seperti
Samsung Galaxy Note adalah sukar dikategorikan sebagai telefon bimbit
atau komputer riba," katanya.
Ka Siong bagaimanapun menegaskan keputusan untuk membenarkan telefon
bimbit dibawa ke sekolah tidak bermaksud Kementerian Pelajaran
menggalakkan pembelian produk berteknologi tinggi dalam kalangan
pelajar.
Menurutnya, Draf Peraturan Pendidikan (Displin Murid) 2012 kini
berada di peringkat akhir penyediaan sebelum diserahkan kepada Jabatan
Peguam Negara untuk diluluskan.
''Dalam tempoh ini, Kementerian Pelajaran mengalu-alukan pendangan daripada semua pihak," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, Draf Peraturan
Pendidikan (Displin Murid) 2012 juga akan menetapkan peraturan untuk
menangani perihal jenayah siber.
''Ini antaranya bertujuan mengelakkan pelajar menyalahgunakan alat
komunikasi untuk tujuan yang tidak baik termasuk memfitnah guru di
Internet," katanya.
Utusan Malaysia Online: 17 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan