JOGJAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan tingkatan
enam melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar
sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat
asasi sains.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah diambil ialah
memisahkan pelajar berkenaan dari sekolah biasa dan menempatkan mereka
di pusat pengajian khas untuk tingkatan enam. “Kami memikirkan untuk
menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu,
guru tidak sama, kategori lain sedikit (secara perbandingan dengan
sekolah biasa),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak kelmarin
kerana menghadiri mesyuarat Menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat
berkaitan dengannya yang berakhir semalam.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu,
pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat pengajian khas kerana
bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu
atau dua kelas di sekolah tertentu. Pada tahun ini, ada 83,000
pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Langkah memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga
selaras kedudukan mereka sebagai pelajar prauniversiti. “Umum pada
masa ini melihat pendidikan tingkatan enam kesinambungan daripada
pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka dalam kategori yang berbeza
dan lebih matang daripada segi pemikiran,” katanya. Muhyiddin
berkata, penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat tingkatan enam
memang sebenarnya pendidikan prauniversiti yang setanding peringkat
kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran
universiti awam tempatan. Persepsi masyarakat sekarang ialah
pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik daripada di tingkatan enam,
sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke
universiti awam adalah sama. Masyarakat, katanya, tidak harus melihat
pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya,
pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar
matrikulasi. Sehubungan itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) harus juga melihat pendidikan tingkatan enam antara pilihan
terbaik untuk pendidikan prauniversiti. Timbalan Perdana Menteri
berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam dimulakan
tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester, namun secara
perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian enam bulan lebih
awal. Ditanya mengenai kemungkinan pendidikan tingkatan enam
dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan tempoh pembelajaran
di kolej matrikulasi, beliau berkata, perkara itu akan dikaji
Kementerian Pelajaran. Muhyiddin berlepas ke Bali untuk meneruskan
lawatan enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka
meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara
Malaysia dan Indonesia. - Bernama
myMetro: 6 Julai 2012
Sabtu, 7 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan