SISTEM pendidikan negara sedang melalui proses
penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan. Saya
melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi
kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan,
lebih-lebih lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas
(Pra-U bawah dan atas).
Banyak pihak mula membangkitkan mengenai isu kalangan pelajar Pra-U
ini yang mula hilang minat untuk meneruskan pengajian mereka kerana
beranggapan status mereka tiada bezanya dengan pelajar-pelajar arus
perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Mereka merasakan bahawa mereka hanya seperti pelajar sekolah biasa
sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran secara semester dan setaraf
dengan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi yang lain.
Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal
mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh
institusi pengajian tinggi.
Bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan Pra-U ini agar lebih
produktif dan berkualiti, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil
pendekatan pro-aktif dengan menyediakan sistem pengurusan yang
berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana.
Ini dibuat melalui pewujudan jawatan khas penolong kanan dan
guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar tingkatan enam. Langkah
ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk masa depan
pelajar-pelajar Pra-U.
Sehubungan itu, bagi menarik minat kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini
untuk meneruskan pengajian mereka, adalah lebih baik jika mereka ini
dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi,
walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa.
Berilah peluang kepada kalangan pelajar Pra-U ini untuk menghadiri
kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam sekolah bagi
membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana.
Berilah kelonggaran kepada pelajar ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack,
berkemeja biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting
mereka diwajibkan berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.
Jumlah pelajar juga harus ditetapkan dalam kalangan 30 orang dalam
satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan murid lebih sempurna
demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik.
Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan jumlah
guru yang mencukupi sementara pihak pengurusan sekolah tidak menugaskan
guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U untuk turut mengajar
pelajar-pelajar arus perdana.
Saya sangat yakin, jika langkah drastik ini dapat dilaksanakan secara
beransur-ansur, ia mampu menarik semula minat kalangan pelajar Pra-U
untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada waktu yang sama mampu menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar
arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka dalam pengajian Pra-U
atau tingkatan enam bawah dan atas.
Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2012
Selasa, 31 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan