SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada
menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18
-20 tahun ketika itu.
Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai
pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung
pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra
pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos
pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal
berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan
perkembangan semasa.
Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu, saya
lihat pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju
kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di
tubuh pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang.
Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang
sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam itu
untuk ke kelas.
Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi,
matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang
menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian
seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah.
Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit
meruntun rasa kecil hati mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh
kerajaan sejak wujud tingkatan enam lagi.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu.
Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia
remaja sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar
tingkatan lima ke bawah.
Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam
berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar di
universiti.
Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian
kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan.
Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar
tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.
Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama dalam
usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM.
Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar
bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam
daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk
ditempatkan di pusat pengajian khas.
Banyak pihak menyambut baik berita yang diumumkan oleh Timbalan
Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin
selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di
Yogyakarta, Indonesia kelmarin.
Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar
supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem
pembelajaran di universiti.
Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam diberi
penjenamaan semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut
perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.
Memang elok sangat cadangan Muhyiddin supaya kelas tingkatan enam
dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada. Guru yang mengajar pelajar
tingkatan enam juga harus golongan guru yang berbeza.
Apa sahaja yang difikirkan baik untuk memulihkan semangat dan imej
tingkatan enam, lakukanlah. Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh
pembelajaran tingkatan enam dipendekkan kepada enam bulan lebih awal
seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi, maka teruskan
usaha tersebut.
Memang kerajaan perlu mengubah sistem pendidikan tingkatan enam
kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap tingkatan enam
dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan
matrikulasi.
Sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan
matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat
melanjutkan pelajaran ke universiti.
Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi, cuma yang
membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian
seragam.
Jadi jika Kementerian Pelajaran ingin membuat perubahan, jangan lupa ubah juga imej baju sekolah itu.
Utusan Malaysia Online: 7 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan