PUTRAJAYA 12 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu guru-guru
cemerlang memikirkan mekanisme terbaik sebagai persediaan untuk generasi
hari ini memenuhi pekerjaan pada masa hadapan.
Menurut Perdana Menteri, situasi itu adalah sama seperti di zaman
persekolahannya yang pada ketika itu tidak pernah terfikir akan wujud
kejuruteraan mekatronik dan robotik.
''Dalam masa 15 ke 20 tahun lagi entah apa lagi bidang baru yang hari
ini belum kita dapat kenal pasti dan tentu sekali pekerjaan baru itu
tidak dapat kita fikirkan.
''Namun, anak-anak kita akan terpaksa mengisi jawatan atau pekerjaan
yang hari ini belum lagi cukup untuk memenuhi tuntutan pada masa itu,"
katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang
2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Lebih 1,500 guru cemerlang hadir pada majlis yang bertujuan
menyatukan gagasan pemikiran guru cemerlang agar seiring dengan agenda
transformasi pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli
Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, Pengerusi
Majlis Pendidikan Tertinggi Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dan
Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Rodzli Hashim.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru guru-guru cemerlang mencabar
diri untuk berusaha menerapkan kemahiran berfikir yang tinggi kepada
para pelajar supaya mereka boleh berfikir dengan tajam, mendalam,
kreatif dan inovatif.
''Dengan ini akan ada keanjalan untuk mengadakan adaptasinya dalam
apa juga situasi yang bakal wujud pada masa akan datang agar anak-anak
kita ada kemampuan untuk menghadapi cabaran itu.
''Saya kira inilah cabaran utama bagi kita hari ini sebagai pendidik
untuk menyediakan generasi akan datang untuk dunia hari ini, yang kita
mungkin sukar untuk lakarkan," katanya.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan tentang peratusan
pelajar yang memilih bidang sains teknologi dan matematik semakin
menurun.
Menurutnya, Kementerian Pelajaran mesti mengubah pelan untuk mencapai
nisbah 60:40 iaitu 60 peratus pelajar memilih bidang sains teknologi
dan matematik kerana ia adalah teras utama untuk mencapai status negara
maju.
Utusan Malaysia Online: 13 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan