Rabu, 18 Julai 2012

7,975 guru PPPS naik gred


oleh Petah Wazzan Iskandar 

Kenaikan dilaksanakan segera selepas dua tahun tertangguh

Butterworth: Seramai 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) akan menikmati kenaikan Gred DG41 dalam tempoh terdekat selepas tertangguh dua tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya baru menerima waran kenaikan pangkat bagi Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian PPPS, masing-masing, 23 Mei lalu.
Katanya, kementerian sedar penangguhan kenaikan gred di kalangan guru lepasan PPLD yang menyertai PPPS sejak dua tahun lalu, menimbulkan perasaan negatif guru belum siswazah.

“Kementerian akan berusaha mempercepatkan kenaikan Gred DG41 yang membolehkan pelbagai faedah dapat dinikmati.

“Saya akui penangguhan kenaikan gred ini menyebabkan ramai guru PPLD tidak mahu menyertai PPPS,” katanya di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, melalui PPPS yang diwujudkan pada 2006, seramai 70,062 guru menyertainya dengan peruntukan RM1.4 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh sehingga 2020.
“Bagi pengambilan September ini, kita menjangka 22,102 guru akan menyertainya.

“Bagaimanapun, masih ada 16,574 kekosongan sehingga semalam (kelmarin) kerana hanya 3,528 memohon, puncanya dipercayai berkaitan isu penangguhan kenaikan Gred DG41,” katanya. 

Berita Harian Online: 18 Julai 2012

Tiada ulasan: