Isnin, 2 November 2009

Bukti semua kerja keras

MERU -Program Hari Raya yang digabungkan dengan program 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Jelapang ternyata disambut meriah dengan kehadiran tetamu terdiri daripada ibu bapa dan warga sekolah berkenaan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Muhamat Roli Hassan berkata, kerja keras Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjaya menarik tetamu yang begitu ramai.

“Sangkaan saya ini adalah sambutan peringkat daerah, namun keadaan ini membuktikan usaha keras PIBG berbaloi,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan tersebut di SK Jelapang di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Guru Besar SK Jelapang, Othman Abdul Aziz dan Yang Dipertua PIBG, Shaharuddin Deli.

Roli berkata, kejayaan yang dikecapi oleh generasi pada hari ini menggambarkan pendidikan di negara ini berjaya.

Katanya, peradaban dunia terbahagi kepada tiga zaman iaitu primitif, pertanian dan perindustrian malah dunia pada masa ini berlumba-lumba dalam memajukan industri dan bagi mendapatkan kejayaan yang seiring sistem pendidikan juga telah ubah suai selaras dengan teknologi moden.

“Dunia telah bergerak ke arah teknologi maklumat, ICT, robotik dan nanoteknologi dan kita perlukan sistem pendidikan yang canggih,” katanya.

Menurutnya, ini adalah perkembangan yang begitu hebat sehingga memaksa sistem pendidikan negara diubah supaya selari dengan keperluan dunia.

Katanya, aktiviti kokurikulum dan mata pelajaran perlu dipertingkatkan agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, katanya ketika sedang asyik mengejar kemajuan teknologi, sahsiah diri golongan remaja perlu diberi perhatian.

“Kita tidak mahu budaya jahiliah kembali kepada golongan ini yang merupakan generasi yang bakal memimpin dunia.

“Gejala sosial yang semakin berleluasa mungkin akan memusnahkan generasi muda begitu juga dengan kewujudan sikap yang mementingkan materialistik dan hiburan bakal meruntuhkan dunia akademik negara,” katanya.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: