Isnin, 2 November 2009

Jangan mudah salahkan guru

Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my

Padang Rengas menerima anugerah Guru Cemerlang Akademik
daripada Nazri." title="TAHNIAH...Hasimah Hasan dari SK Padang Asam,
Padang Rengas menerima anugerah Guru Cemerlang Akademik
daripada Nazri." border="0" height="282" width="300">
TAHNIAH...Hasimah Hasan dari SK Padang Asam,
Padang Rengas menerima anugerah Guru Cemerlang Akademik
daripada Nazri.

KUALA KANGSAR: Ibu bapa diminta supaya jangan mudah melenting atau terus menyalahkan guru terhadap insiden membabitkan anak mereka, sebaliknya menyiasat terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata beliau kecewa apabila ada ibu bapa melenting malah menggunakan kekasaran terhadap guru ketika insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar yang mengorbankan tiga murid, minggu lalu.

Beliau berkata, ibu bapa tidak sepatutnya mengasari guru atau memarahinya kerana mereka menjalankan tugas untuk kepentingan anak-anak di masa depan termasuk mengadakan perkhemahan.

“Begitu juga apabila guru mendenda anak-anak mereka. Ia semata-mata untuk mengajar muridnya supaya tidak melakukan kesalahan lagi dan mendidik mereka supaya menjadi baik.

“Justeru, jangan menganggap guru itu sebagai seorang pendera anak-anak kita, sebaliknya anggaplah mereka sebagai pendidik demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Program Komuniti Sekolah Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Padang Rengas, kelmarin.

Program itu anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Perak dan Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Pada program itu, seramai 403 pelajar sekolah rendah dan menengah serta lebih 100 guru dalam kawasan Parlimen Padang Rengas menerima anugerah masing-masing.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh (Adun), Siti Salmah Mat Jusak; Pengarah Eksekutif Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd; Datuk Hamidah Makhtar, Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar, Marazlen @ Mar Azlan Amran dan Pengetua SMK Tun Perak, Mohd Azam Mahmud.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata guru mempunyai ramai pelajar dan tidak boleh menumpukan perhatian kepada seorang saja terutama tempoh masa bersama guru di sekolah adalah terhad.

“Sekiranya ibu bapa meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada guru untuk mendidik sama ada di bidang pelajaran, akhlak atau moral, ia akan memudahkan tanggungjawab guru.

“Saya juga pernah didenda guru dan jika memberitahu kepada ibu bapa, mereka sekali lagi akan mendenda saya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru saya kerana mendidik sehingga menjadikan saya seperti sekarang,” katanya.

myMetro: 2 November 2009

Tiada ulasan: