Jumaat, 6 November 2009

Pertemuan rungkai rahsia 36 tahun

Oleh Norini Ismail

PERTEMUAN semula bekas pelajar 3 English (3E) 1973, Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan (SMTAI) Kuala Berang di Ri-Yaz Heritage and Spa Resort di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, pada 28 Syawal lalu dianggap paling bersejarah kerana menyatukan semula bekas guru yang sudah terpisah sejak 36 tahun lalu.

Walaupun dapat menghubungi seorang saja bekas guru, kepuasan tetap dirasai 29 bekas pelajar dari seluruh negeri itu, yang sanggup meredah jalan beratus kilometer semata-mata untuk merealisasi pertemuan yang dirancang lebih awal.

“Hanya Kee Choon Chong atau lebih dikenali sebagai Mr Kee yang dapat kita hubungi kali ini,” kata pengerusi majlis perjumpaan semula, Wang Yong Soon. Beliau bersama beberapa rakan yang menetap di Terengganu berusaha merealisasikan pertemuan bersejarah pada 17 Oktober itu.

Mr Kee paling dekat di hati pelajar kerana sikapnya sentiasa mendampingi murid. Walaupun berasal dari Kuala Lumpur dan kurang fasih berbahasa Melayu ketika mula mengajar di SMTAI pada 1969, ia tidak menghalang beliau menjadikan murid sebagai kawan.

Ramai yang tidak tahu kemurahan hatinya membantu pelajar dari segi kewangan. Namun rahsia yang disimpan selama 36 tahun itu terbongkar apabila beberapa pelajar mengenang semula jasa disumbangkan Mr Kee sepanjang mengajar di SMTAI.

Seorang bekas pelajar, Mohd Ariffin Daud, masih ingat bagaimana Mr Kee membantu membayar yuran pengajian bulanan yang dikenakan kepada pelajar aliran Inggeris. “RM7.50 sebulan besar nilainya waktu itu. Sebagai anak orang kampung, memang perit menjelaskan yuran itu. Nasib saya baik kerana Mr Kee sering menghulurkan bantuan di samping memberi duit poket.

“Pernah dia membelikan jam baru selepas saya memintanya membaiki jam saya yang rosak. Jasa beliau tetap saya ingat. Memang saya kesal tidak menghubunginya selepas berpindah belajar ke sekolah teknik selepas mendapat keputusan baik dalam peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) pada 1973 yang kini setaraf Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kebetulan Mr Kee berpindah ke sekolah lain menyebabkan hubungan kami terputus,” katanya yang kini bertugas sebagai pengurus besar di sebuah anak syarikat Petronas.

Pelbagai cerita lucu zaman remaja dikenang semula sempena pertemuan itu. “Masa itu mana kita fikir baik buruknya, yang penting ikut kata hati,” kata Abdul Aziz Muda yang mengingatkan semula peristiwa berkelah sambil memancing bersama beberapa rakan sekelas.

Bagi Mr Kee tiada perbezaan bangsa dan agama dalam menghulurkan bantuan. “Kalau ada pelajar yang memerlukan bantuan tidak kira dari segi pelajaran atau kewangan, saya dengan hati terbuka membantu mereka,” katanya.

Walaupun berasal dari ibu kota, beliau tidak berdepan kejutan budaya apabila dihantar bertugas di sekolah pedalaman selepas tamat kursus di Maktab Perguruan Pulau Pinang pada 1969.

“Ketika ditempatkan di Kuala Berang, masa itu juga tercetus peristiwa 13 Mei. Walaupun ada murid yang memberi amaran mungkin ada orang kampung cuba mengancam saya kerana berlainan bangsa, saya sedikit pun tidak gentar. Saya sedar tugas saya sebagai guru yang mempunyai tanggungjawab besar mendidik anak bangsa tidak akan bermusuh dengan orang kampung,” katanya.

Mr Kee juga anggota band yang dikenali Dze Atma Sari yang semua anggotanya adalah guru SMTAI. Band ini memang terkenal dan banyak menerima undangan untuk mengadakan persembahan pada majlis keramaian.

Selama berpisah 36 tahun, banyak perubahan yang berlaku. Murid yang dulunya remaja kini makin lanjut usia malah ada yang bercucu. Mr Kee, 62, walaupun masih segak dari segi fizikal, masih ada perubahan besar pada dirinya yang tidak diduga oleh mereka yang mengenalinya dulu. Beliau kini ialah Mohd Rosland Kee Abdullah sejak menganut Islam pada 1980 dan berkahwin dengan Norihan Samion, juga seorang guru pada 1981.

Minatnya terhadap Islam sudah bercambah sejak bertugas di Terengganu. Ketika mengajar di Beranang, Selangor, beliau mendapat dorongan keluarga angkat untuk mendalami Islam.

“Walaupun bersara pada 2003, saya masih sibuk menganjurkan kelas tuisyen dan menjadi jurulatih hoki Selangor. Sudah 15 tahun saya membimbing remaja dalam sukan ini,” tambah beliau.

Seperti Mr Kee dulu, Rosland kini masih mempunyai sahabat di kalangan anak didiknya dalam bidang hoki yang turut mengiringinya ke majlis pertemuan semula itu.

Bapa kepada lima anak dan datuk kepada seorang cucu, kini menetap di Puchong, Selangor, begitu sayu diraikan dalam majlis yang penuh meriah dihadiri keluarga bekas pelajar. Ini adalah pertemuan semula ketiga kumpulan itu.

Selain tautan kasih antara guru dan pelajar, majlis kali ini pembuka jalan satukan hati dua jiwa bekas pelajar yang kini sudah menjadi suami isteri. Mana tahu akan ada tautan kasih dalam generasi kedua 3E pada masa depan.

Berita Harian Online: 6 November 2009

Tiada ulasan: