Selasa, 10 November 2009

Timur: Sanggup lapar tunggu makanan ringan

Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my

Rela beli dengan penjaja kerana harga di kantin sekolah mahal

KUALA TERENGGANU: Kekurangan pilihan, harga yang mahal di kantin dan larangan penjualan makanan ringan dan aiskrim di sekolah menyebabkan penjaja, terutama yang bermotosikal roda tiga mengaut keuntungan daripada serbuan murid yang kemaruk makanan ringan dan air balang.

Majoriti pelajar, terutama di sekolah rendah di bandar raya ini dikatakan sanggup berlapar pada waktu rehat dan menyimpan wang saku untuk membeli makanan ringan dan minuman dijual peniaga di luar kawasan sekolah.

Pelbagai makanan ringan dijual peniaga roda tiga menjadi tarikan pelajar sekolah disebabkan pelajar tidak mempunyai banyak pilihan barangan yang dijual di kantin disebabkan larangan pengurusan sekolah.

Bagaimanapun, peliknya, pengurusan sekolah dan pihak berkuasa lain seolah-olah `memejamkan mata' kerana membiarkan peniaga roda tiga yang tidak memiliki lesen perniagaan membuka perniagaan mereka di luar kawasan sekolah.

Seorang guru sekolah yang enggan namanya disiarkan mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap peniaga roda tiga yang membuka perniagaan di luar pagar sekolah.

"Kami beberapa kali pernah memberi amaran dan menasihatkan supaya peniaga roda tiga tidak menjual di luar sekolah, tetapi larangan kami bukan saja tidak diendahkan, malah ada antara mereka sanggup memarahi kami dan mengancam akan mengambil tindakan.

"Kami pernah ternampak beberapa peniaga roda tiga hanya menggunakan air mentah dan dibancuh dengan sirap untuk dijual kepada pelajar sekolah," katanya.

Beliau berkata, guru sering kali dipersalahkan oleh ibu bapa jika berlakunya kes keracunan makanan membabitkan pelajar.

"Kita meminta kerjasama jabatan dan agensi kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap peniaga roda tiga yang secara bebas menjalankan perniagaan di luar sekolah," katanya.

Murid sekolah rendah yang enggan namanya disiarkan berkata, larangan pengurusan sekolah agar tiada makanan ringan dijual di kantin sekolah punca utama mereka sanggup tidak berbelanja ketika rehat.

"Kami sanggup menyimpan wang saku untuk membeli pelbagai makanan ringan dan minuman termasuk aiskrim di luar sekolah.

"Nasi lemak, mee goreng, nasi minyak dan pelbagai jenis kuih muih dijual di kantin sekolah mahal serta menjemukan kami," katanya sambil menghirup air sirap yang dibeli.

Berita Harian Online: 10 November 2009

1 ulasan:

zeefahdhom berkata...

disekolah saya, koperasi yang jual makanan ringan, dan menimbulkan masalah seperti sampah bungkusana, makan dalam kelas dsb.Apa tindakan yang saya boleh lakukan???