SAYA tertarik dengan luahan "Guru Lama Mohon Tukar Ditolak" yang disiarkan pada 9 November lalu. Saya ingin berkongsi masalah yang sama, cuma dalam keadaan yang berbeza di mana saya sebagai suami kepada seorang guru agama Jawi-Quran, Arab Fardu Ain (J-QAF) yang mengajar di Miri, Sarawak.
Sudah dua tahun lebih kami berkahwin namun masih tinggal berjauhan. Isteri di Sarawak dan saya di Kuala Lumpur. Permohonan pertukaran kali kelima, namun keputusan tetap sama ditolak. Saya akur permohonan isteri saya ditolak jika tidak cukup syarat kerana terikat dengan kontrak. Isteri saya adalah perintis kumpulan pertama guru J-QAF, belajar di Miri dan mengajar pun di Miri, mempunyai kontrak 36 bulan bersama sekolah, mereka ibarat bahan ujian kementerian tetapi apabila kontrak tamat permohonan bertukar masih tidak diluluskan.
Saya tidak pasti apakah situasi yang paling utama diambil kira pihak kementerian untuk meluluskan permohonan pertukaran ini. Saya juga tertanya-tanya apakah perbezaan guru akademik dan agama dalam kes pertukaran, kerana guru akademik yang melapor diri pada Januari 2009 permohonannya diluluskan walaupun hanya setahun berkhidmat.
Apabila ditanya kepada pihak kementerian, jawapan yang diberikan tidak semua permohonan diluluskan dan juga atas sebab perkhidmatan dengan erti lain pihak negeri atau sekolah tidak menyokong guru bertukar. Situasi yang saya hadapi kini amat sukar, kerana apabila berbicara mengenai bertukar saya dan isteri akan bertengkar ini mengakibatkan hubungan kami semakin renggang.
Saya memahami tekanan yang isteri hadapi tetapi sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan begini. Mungkin jalan terakhir untuk kembali ke Semenanjung, isteri perlu melepaskan jawatan. Kepada guru lama bersabarlah mungkin bukan rezeki kita lagi sebab kita tak ada orang dalam. Kerjaya sebagai guru perlu pengorbanan tetapi jika kebajikan guru tidak diambil kira apakah ertinya jika terpaksa mengorbankan kebahagiaan keluarga.
JEFRI,
Kuala Lumpur.
Berita Harian Online: 12 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan