Ahad, 1 November 2009

Selepas berkhidmat 31 tahun, Cikgu Rokiah bersara


ROKIAH A. Rahman (depan dua dari kanan) memotong kek sempena hari persaraannya di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 31 Okt. - Setelah lebih 31 tahun menabur bakti dalam bidang perguruan, semalam Rokiah A. Rahman, 56, mengucapkan selamat tinggal kepada bidang yang amat dicintainya itu apabila melangkah ke alam persaraan.

Sebagai kenangan manis sebelum melangkah pergi, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi, di sini sayu dan terharu apabila diraikan pada majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti yang cukup meriah.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rendah Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Rahman.

Rokiah dalam ucapannya sempat berpesan kepada anak muridnya supaya meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu walaupun beliau tiada di sisi.

''Biarpun saya bukan lagi guru besar di sekolah ini, saya mahu anak-anak didik terus belajar dan berusaha menjadi insan berguna.

''Teruskan perjuangan menaikkan nama sekolah sekali gus mencapai matlamat negara untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing. Saya yakin kamu boleh lakukan," katanya.

Rokiah, anak kelahiran Johor Bahru itu memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah, Kulai, dekat sini pada 1978 hingga 1981 sebelum menyambung khidmatnya di SMK Majidi Baru pada 1982 hingga 1989.

Beliau kemudian berkhidmat di SMK Taman Tun Aminah, di sini pada 1989 hingga 1995 sebelum meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau, di sini pada 1995 hingga 1998.

Kemudian, beliau ditugaskan di SK Sri Skudai, di sini pada tahun 1998 hingga 2001, sebelum bertugas SK Taman Universiti (1), di sini pada 2001 hingga 2003.

Seterusnya Rokiah dihantar bertugas di SK Ayer Molek, di sini pada 2003 hingga 2005 sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai guru besar di SK Taman Pelangi.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pelajaran pada 2007.

Utusan Malaysia Online: 1 November 2009

Tiada ulasan: