Khamis, 12 November 2009

Utara: Pusat biaya naik taraf bangunan sekolah

Oleh Shahrin Osman
bhnews@bharian.com.my


PELAJAR SK St Mark Prai kini selesa kerana bilik darjah tidak ditenggelami air.

Masalah banjir kilat di SK St Mark Prai diatasi

BUTTERWORTH: Warga Sekolah Kebangsaan St Mark Prai, di sini kini boleh menarik nafas lega berikutan masalah banjir kilat yang sering menghantui mereka sejak 14 tahun lalu, sudah mulai berkurangan.

Ia berikutan kerja menaik taraf tiga daripada lima bangunan sekolah itu sudah selesai. Kerja pembinaan bangunan baru itu membabitkan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM400,000.

Satu blok dua tingkat menempatkan pejabat dan kelas akan dinaik taraf selepas menerima peruntukan RM300,000, manakala projek menaik taraf kantin akan dilakukan tidak lama lagi membabitkan kos RM70,000.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Haizi Hassan, berkata masalah banjir kilat sudah berkurangan sejak tiga blok bangunan setingkat itu dinaik taraf.

Kerja menaik taraf tiga blok bagi menggantikan bangunan bermula pada 2007 dengan membabitkan makmal sains, bilik Jawi al-Quran dan Fardu Ain (JQAF) serta bilik darjah untuk murid Tahun Satu hingga Enam.

HUAN (kiri) bersama guru dan jawatankuasa PIBG meninjau parit bersebelahan sekolah yang tersumbat dan tidak diselenggara.

"Kerja menaik taraf tiga bangunan lama sekolah yang daif dapat mengurangkan banjir kilat," katanya ketika ditemui selepas mengiringi bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Huan Cheng Guan melawat sekitar sekolah itu.

Sekolah berusia 63 tahun itu mempunyai 255 murid dan 19 guru.

Sejak 14 tahun lalu, sekolah itu sering dilanda banjir kilat kerana terletak di kawasan rendah, sistem perparitan kurang sempurna dan kesan projek perumahan di kawasan sekitar.

Dalam beberapa kejadian banjir kilat, pernah sekolah itu dinaiki air sehingga satu meter sehingga menjejaskan proses pembelajaran.

Parit sepanjang 200 meter yang dibina empat tahun lalu bersebelahan bangunan yang menempatkan pejabat dan bilik darjah hingga ke Balai Polis Trafik Prai juga tidak berfungsi.

Haizi berkata, pihaknya berusaha mendapatkan peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Pelajaran bagi pembinaan satu blok dua tingkat yang menempatkan pejabat dan bilik darjah.

Peruntukan itu juga akan digunakan untuk membiayai pembinaan tempat letak kenderaan.

Sebelum ini, beberapa syarikat memberi sumbangan kepada sekolah termasuk Malayan Sugar Manufacturing (Co) Bhd dan Yayasan Kuok sebanyak RM100,000 dan Kelab Lions Butterworth (RM38,000) dan kerajaan negeri (RM70,000).

Berita Harian Online: 12 November 2009

Tiada ulasan: