Rabu, 11 November 2009

Tiga langkah proaktif pastikan calon SPM tidak terjejas

PUTRAJAYA 10 Nov. - Semua pengetua di sekolah yang terlibat dengan banjir diarah mengambil tiga langkah proaktif bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 18 November ini tidak terjejas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pengetua di Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif jika sekolah yang terlibat dengan banjir terpaksa ditutup.

''Sebagai langkah proaktif, semua bilik peperiksaan hendaklah diadakan di tingkat satu bagi sekolah-sekolah di kawasan yang sering dilanda banjir.

''Pengetua juga perlu mengenal pasti calon-calon peperiksaan yang rumahnya ditenggelami banjir dengan menempatkan mereka di asrama-asrama sekolah yang tidak terjejas oleh banjir," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alimuddin menambah, setakat ini sebanyak 103 buah sekolah dijadikan pusat penempatan banjir iaitu 90 di Terengganu, 10 di Kedah dan tiga di Kelantan.

Menurutnya, sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir perlu memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, bilik mandi dan tandas serta peralatan perlu berada dalam keadaan terbaik.

Para pengetua juga, kata beliau, perlu mengenal pasti premis yang boleh dibenarkan untuk penempatan mangsa banjir seperti dewan sekolah, bilik-bilik darjah, kantin dan asrama.

''Cuba elakkan guna pejabat sekolah, bilik guru, makmal, perpustakaan, bengkel-bengkel serta stor sukan untuk tujuan tersebut selain memaklumkannya kepada semua guru, kakitangan sokongan, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Beliau menambah, sekolah yang dijadikan penempatan banjir boleh ditutup tetapi jika melibatkan sebahagian kecil mangsa sahaja, sesi persekolahan perlu diteruskan seperti biasa.

''Saya ingin mengingatkan semua pengetua dan guru besar bahawa apa sahaja tindakan yang diambil semasa menghadapi banjir, keutamaan hendaklah diberikan kepada keselamatan murid-murid.

''Pengetua dan guru besar boleh menutup sekolah dengan memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri serta Pegawai Pelajaran Daerah dan hari-hari persekolahan tidak perlu diganti jika terlibat banjir," katanya.

Alimuddin berkata, kementerian juga telah mengedarkan garis panduan menghadapi banjir untuk dijadikan rujukan oleh semua peringkat membabitkan persediaan sebelum, semasa dan tindakan yang perlu diambil selepas berlaku banjir.

''Sekolah terjejas banjir juga dibenarkan mengambil pekerja sementara untuk membersihkan sampah sarap, lumpur dan kerosakan akibat banjir dengan membayar gaji secara harian," katanya.

Utusan Malaysia Online: 11 November 2009

Tiada ulasan: