Isnin, 2 November 2009

Pupuk perpaduan, semai cinta negara setiap musim

KUALA TERENGGANU - Semangat perpaduan dan cintakan negara tidak boleh dipupuk mengikut ‘musim’.

Ini sebab, ia perlu ditanam dalam diri setiap manusia tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

Pengetua Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, Zakaria Awang berkata, perpaduan bukan perkara yang harus diambil ringan kerana ia perlu dititikberatkan terutama ketika berada di sekolah.

“Sekolah iaitu tempat kita menuntut ilmu bukan sahaja bertujuan mendapatkan kejayaan dalam akademik. Peranannya lebih jauh daripada itu terutama bagi memupuk semangat perpaduan.

“Ini sebab, pelajar juga boleh mempelajari banyak perkara yang dapat menjadikan mereka manusia mementingkan aspek berkenaan, selain cintakan negara,” katanya.

Menurutnya, guru juga memainkan peranan penting memupuk semangat perpaduan kerana pelajar akan memberi perhatian terhadap apa yang dipelajari di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya berharap, dengan adanya semangat ini dalam diri setiap pelajar, mereka akan menjadi manusia berguna kepada bangsa dan negara.

Semangat perpaduan juga dapat melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: