Isnin, 2 November 2009

Usah ganggu masa belajar anak-anak

PASIR PUTEH - Ibu bapa perlu memberikan kerjasama baik kepada pihak sekolah ke arah menjana kecemerlangan sekali gus bebas daripada status Sekolah Prestasi Rendah (SPR).

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Rosli Yaacob berkata, secara sedar atau tidak katanya, ibu bapa sering mengganggu masa belajar anak-anak dan keadaan itu tidak membantu usaha sekolah melahirkan ramai pelajar cemerlang.

Katanya, ibu bapa sepatutnya mendorong anak-anak belajar dan bukannya mengganggu mereka dengan perkara remeh-temeh.

“Saya berharap, ibu bapa dapat menyelesaikan masalah kehadiran anak-anak mereka ke sekolah dan tidak sekali-kali membenarkan mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

“Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai perantara dengan pihak sekolah serta bertindak menjernihkan suasana berhubung sebarang isu yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Kemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Harun Yusof berkata, Yang Dipertua PIBG, Ridzuan Setapa, Penyelia Hal Ehwal Murid Pejabat Pelajaran Daerah, Ismail Awang Noh dan Penolong Kanan Pentadbiran, Ahmad Zaki Idris.

Rosli berkata, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak mereka serta tidak membenarkan anak-anak membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Pastikan anak-anak bebas daripada salah laku sosial kerana ia bukan sahaja menyebabkan pelajar hilang tumpuan, malah dalam masa sama mengekalkan status sekolah dengan rekod prestasi rendah,” katanya.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: