Isnin, 30 November 2009

Syor ibu bapa rotan pelajar di sekolah perlu pandangan semua pihak

SARANAN Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) supaya ibu bapa sendiri melaksanakan hukuman merotan patut disokong jika cara ini dapat memberi keinsafan lebih berkesan kepada pelajar yang dihukum. Memang tujuannya baik, tetapi kita perlu meneliti dari segi pelaksanaannya.

Pertama, dalam proses merangka garis panduan mengenai saranan ini, kita perlu melihat daripada skop menyeluruh dan memperincikan setiap perkara yang berkaitan. Ia penting supaya garis peraturannya lengkap dalam menghadapi pelbagai kerenah yang wujud.

Misalnya mungkin timbul masalah bapa yang enggan memberikan kerjasama, menangguhkan temu janji yang dipersetujui, merotan mengikut emosi atau penentuan status penjaga yang boleh merotan jika bapa tiada. Dalam menghadapi pelbagai situasi itu, ada jalan penyelesaian jika peraturannya sempurna.

Kedua garis panduan perlu dipermudahkan supaya pelaksanaannya nanti munasabah dan praktikal. Ia penting supaya berpadanan dengan keupayaan tenaga guru yang sudah sedia dengan tugas yang bertimbun-timbun.

Apabila berlaku sesuatu kes salah laku pelajar, guru disiplin perlu menyoal siasat, memanggil saksi, mengumpulkan bahan bukti, memanggil ibu bapa, memanggil tertuduh untuk bela diri, bermesyuarat untuk putuskan hukuman, beri peluang tertuduh merayu, melaksanakan hukuman dan melengkapkan laporan.

Bayangkan betapa banyaknya tugas guru disamping tugas utama melaksanakan pengajaran dalam kelas. Jika syor PIBGN ini dilaksanakan, tugas guru tadi diteruskan lagi dengan memaklumkan kepada ibu bapa, menunggu tarikh hukuman, berbincang tatacara hukuman dan sebagainya yang menambahkan lagi tugas guru.

Ia baru satu kes salah laku. Belum lagi kes salah laku lain. Sebenarnya tugas guru yang hakiki ialah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, di samping bidang kokurikulum, tugas khas dan ditambah lagi dengan tugas perkeranian.

Selain itu, pandangan daripada pengetua/guru besar, guru kanan hal-ehwal murid dan guru disiplin mesti diambil kira dan yang penting dihormati dalam membincangkan saranan PIBGN itu. Tiga golongan ini terbabit secara langsung, berpengalaman luas dalam pengurusan disiplin pelajar di sekolah dan memahami suasana sebenarnya berbanding pegawai pendidikan lain.

Projek rintis juga perlu dilaksanakan supaya pemantauan dan penilaian dapat dibuat. Ia penting untuk mendapat gambaran lebih lengkap dan tepat sebelum keputusan muktamad dibuat sama ada saranan PIBGN supaya ibu bapa merotan pelajar ini wajar dipraktikkan.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.

Berita Harian Online: 30 November 2009

Tiada ulasan: