Rabu, 27 Januari 2010

SBT boleh dapatkan khidmat profesional

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Tingkat kokurikulum, sukan ke peringkat tertinggi

KUALA LUMPUR: Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) boleh mendapatkan khidmat profesional pada peringkat kebangsaan dan juga dari luar negara untuk melonjakkan pencapaian bidang sukan serta kokurikulum ke taraf tertinggi, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Selain itu, beliau berkata, pihak pengurusan SBT juga dibenarkan mengambil guru penutur jati, termasuk bagi program pengajaran dan pembelajaran bahasa antarabangsa seperti Arab, Perancis dan Jepun, di samping sumbangan ilmu daripada pensyarah universiti untuk terus memacu prestasi kecemerlangan akademik.

“Setiap SBT berpeluang memikir suatu usaha atau pendekatan yang lain daripada kelaziman serta mengemukakan sebarang cadangan pelaksanaan baru kepada Kementerian Pelajaran berdasarkan keperluan dan kepentingan sekolah masing-masing.

“Ini bermakna pelaksanaan program atas pemberian autonomi kepada SBT bukanlah secara seragam merentasi keseluruhan sekolah yang terpilih, sebaliknya mengikut kesesuaian, kemampuan dan kelebihan tersendiri.

“Kementerian akan meneliti cadangan dikemukakan dan jika diluluskan, sekolah itu akan menguruskan sendiri pemerolehan khidmat tenaga serta pembiayaan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula kelmarin apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran untuk memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar yang cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Katanya, perbincangan akan diadakan secara berterusan untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan di SBT dan setakat ini masih dalam proses perincian pelbagai aspek berkaitan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana Kementerian Pelajaran akan meneliti serta membuat pertimbangan sewajarnya dengan tertakluk kepada peraturan dan dasar digaris.

Berita Harian Online: 27 Januari 2010


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ENTAHLAH...Sekolah Wawasan, Sekolah Kluster, Sekolah Berpretasi tinggi. Kesian kat sekolah berprestasi rendah. Kesian lagi kat sekolah kurang kemudahan dan kurang
Pandangan ikhlas saya, adalah lebih baik peruntukan utk sek-sek di atas digunakan untuk menambah baik norma perjawatan guru yg ada sekarang. Tingkatkan dari 1.5(S.Rendah) kepada 2. Ramai anak bangsa kita yang akan mendapat manfaat. Fikir-fikirkanlah...