Sabtu, 30 Januari 2010

Sikap guru bantu Seri Puteri jadi SBT


pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya menunjukkan 600 penyertaan daripada pelajar sekolah itu untuk pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri pada majlis penyerahan surat tersebut kepada Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat di Cyberjaya, kelmarin.


CYBERJAYA 29 Jan. - Sikap proaktif tenaga pengajar Sekolah Seri Puteri di sini menjadi antara faktor penyumbang kepada pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengetua sekolah tersebut, Rashidah Md. Arif berkata, guru-guru dan semua tenaga pekerja sekolah itu amat komited ketika menjalankan tugas tanpa mengira waktu.

Katanya, mereka bekerja dalam satu pasukan dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak atasan dalam memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai.

"Tidak dapat dinafikan seluruh warga sekolah termasuk pelajar gembira dengan pemilihan dan pencapaian terbaru ini.

"Kini apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengatur dan memperkemaskan perancangan untuk mengekalkan status SBT ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan penyertaan pertandingan Surat kepada Perdana Menteri di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Sekolah Seri Puteri antara 20 buah sekolah yang diiktiraf sebagai SBT.

Pengumuman berkenaan membolehkan 20 buah sekolah yang tersenarai itu mendapat keistimewaan kuasa autonomi tambahan untuk menaik taraf martabat sistem pendidikan negara ke arah bertaraf dunia.

Menurut Rashidah, guru dan pelajar perlu seiring bekerjasama menghadapi perubahan itu bagi membolehkan cabaran untuk memartabatkan kualiti sistem pendidikan negara tercapai.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam setiap urusan dan pentadbiran sekolah termasuk proses pembelajaran.

"Sekolah akan memastikan talian dan prasarana ICT berada dalam keadaan baik bagi memastikan akses kepada sistem maklumat dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," jelasnya.

Sementara itu, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sekolah terutamanya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan alumni Sekolah Seri Puteri.

"Mereka selama ini telah banyak berusaha membantu kami untuk mendapatkan dana untuk sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Januari 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perlaksanaan SBT ini akan menyebabkan sekolah yang cemerlang terus cemerlang....sekolah yang ketinggalan terus ke belakang....manakan tidak...sekolah SBT terus-terusan mendapat peruntukan besar sekolah kampung terus di anak tirikan...

Tanpa Nama berkata...

Saya juga terlibat dalam pengurusan kokurikulum. apa yang menyedikan, sekolah elit di negeri Perlis mengadakan kem latihan pancaragam di sebuah pusat latihan pendidikan, malangnya, seramai 70 orang peserta hanya seorang guru pengiring yang terlibat menemani pelajar sepanjang program. sibuk sangat ka guru2 di sekolah berkenaan sehinggakan hal ini dipandang ringan.....