Jumaat, 23 April 2010

30 tempat untuk guru lanjut pengajian PhD

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/23

Kementerian lulus 70 peluang sehingga peringkat Sarjana

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran meluluskan 30 tempat bagi guru melanjutkan pelajaran ke tahap ijazah kedoktoran (PhD) dan 70 untuk peringkat Sarjana bagi memberi peluang lebih ramai guru meningkatkan status akademik mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima peruntukan tambahan bernilai RM972.6 juta melalui peruntukan tambahan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu. “Penambahan peruntukan itu membolehkan kementerian mengisi beberapa perancangan untuk memantapkan sistem pendidikan negara kita termasuklah menggunakan RM1.2 juta bagi menawarkan 100 lagi tempat bagi guru melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat PhD mahupun Sarjana.

“Malah, guru yang menyambung pengajian mereka itu juga akan menerima cuti belajar bergaji penuh,” katanya selepas majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup nelayan Batu Pahat, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, RM15.3 juta lagi akan digunakan bagi menampung bayaran elaun sara hidup dan perjalanan guru membabitkan pertukaran, penempatan guru baru serta pengagihan semula guru.

“Ini juga termasuk bagi menyediakan elaun balik kampung bagi guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman kerana sebelum ini ramai guru yang ditempatkan di pedalaman terpaksa mengeluarkan belanja yang besar jika mahu pulang ke kampung.
“Kementerian juga memperuntukkan RM50 juta bagi menampung tuisyen 150,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Puad berkata, kementerian turut memperuntukkan RM144 juta untuk memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan termasuk menambah 1,033 lagi kelas prasekolah di seluruh negara.

“Sehingga kini, hanya ada 7,511 kelas prasekolah yang dibuka di seluruh negara dan dengan peruntukan ini, penambahan lebih banyak kelas pra sekolah dapat dilakukan menjelang 2012.

“Dengan penambahan kelas prasekolah ini, kementerian mensasarkan 87 peratus generasi muda negara ini berpeluang mendapat pendidikan peringkat awal bermutu menjelang 2012 ini,” katanya.

Berita Harian Online: 23 April 2010

Tiada ulasan: