Ahad, 18 April 2010

Tambah cikgu lelaki manfaat pelajar

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Rosli Jalil
bminggu@bharian.com
2010/04/18

Perubahan dasar mampu kawal disiplin di sekolah, mudah hantar guru ke luar bandar

KOTA BHARU: Keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengimbangi pengambilan guru lelaki dengan wanita disifatkan sebagai tindakan positif dalam usaha meman-tapkan sektor pendidikan negara, terutama meningkatkan taraf pendidikan di kawasan luar bandar.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arshad, berkata sejak dulu lagi perkara berkaitan guru lelaki diperjuangkan dan kini ia direalisasikan melalui pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kelmarin.

Katanya, khidmat guru lelaki amat diperlukan terutama di kawasan luar bandar yang memerlukan khudrat lelaki lebih banyak dari wanita dan keperluan kepada tenaga pengajar lelaki boleh dikatakan kritikal berikutan sektor perguruan kini dikuasai wanita.

“Sudah tiba masanya perkara ini diseimbangkan bagi membolehkan pergerakan sektor perguruan negara bergerak lebih lancar serta efisyen," katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Mohd Puad dilaporkan berkata, kementerian berkenaan memutuskan untuk mengimbangi nisbah calon guru lelaki dengan wanita bagi mengikuti kursus latihan perguruan mulai tahun ini dengan 50 peratus adalah lelaki.

Mohamad Sabri berkata, tenaga pengajar lelaki amat diperlukan terutama di kawasan pedalaman yang dilihat bersesuaian dengan sifat lelaki, khususnya apabila membabitkan keselamatan yang terbukti melalui beberapa kejadian ancaman terhadap guru wanita yang dilaporkan sebelum ini.
“Lelaki bukan tidak terdedah kepada ancaman, namun mereka mampu berikhtiar untuk mengelaknya memandangkan khudrat lelaki lebih kuat dari wanita. Kesatuan juga menyokong kenyataan Mohd Puad bahawa guru lelaki mampu mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar berbanding guru wanita," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Tamil Malaysia, P Dharmalingam, berkata sudah tiba masanya penambahan guru lelaki dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan pendidikan negara terutama yang membabitkan disiplin serta sukan.

Sebagai contoh, katanya, bagi mencapai hasrat seorang pelajar satu sukan, keringat guru lelaki amat ditagih walaupun diakui ada guru wanita yang mampu mengendalikan tugas terbabit, namun ia dilihat lebih sesuai dipikul guru lelaki sambil dibantu guru perempuan.

Sementara itu di Kuantan, Mohamad Sabri berkata, pengenalan nisbah untuk pengambilan calon guru dari Sabah dan Sarawak dapat memastikan pelatih dari dua negeri itu dihantar semula ke negeri asal mereka selepas tamat latihan, manakala pelatih lain berkhidmat di Semenanjung.

Beliau juga berharap kementerian dapat memberi kelonggaran dengan mengenakan syarat minimum bagi pengambilan calon guru lelaki sebagai langkah menarik lebih ramai graduan lelaki memohon jawatan perguruan.

Berita Harian Online: 18 April 2010

Tiada ulasan: