Rabu, 7 April 2010

Dua tahun menanti surat tawaran ajar Tingkatan Enam

SAYA merupakan salah seorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar kelas Tingkatan Enam.Sewaktu diberi taklimat untuk mengajar kelas tersebut, kami guru-guru telah dimaklumkan mengenai sistem pengurusan yang berbeza bagi Tingkatan Enam.

Setiap guru yang bersetuju menerima tawaran tersebut akan ditawarkan secara rasmi oleh pihak kementerian.

Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap pelajar-pelajar, kami telah menerima tawaran tersebut dan memulakan sesi pembelajaran walaupun tanpa surat lantikan.

Namun selepas mengajar hampir dua tahun, sehingga kini kami masih belum lagi diberi surat tawaran untuk mengajar Tingkatan Enam. Apabila perkara ini dirujuk ke pihak Kementerian Pelajaran, alasan yang diberi sangat bersahaja: "Cikgu bersabar, kami akan urus secara berperingkat".

Kami memahami, mungkin jumlah guru Tingkatan Enam yang perlu dilantik terlalu ramai, tetapi takkanlah perlu memakan masa sehingga hampir dua tahun. Lebih pelik lagi, ada sebahagian guru di sekolah dalam daerah yang sama telah pun mendapat surat lantikan.

Kami mula terasa dipermainkan dan mula terfikir adakah pihak Kementerian Pelajaran khususnya bahagian yang mengendalikan pengurusan Tingkatan Enam tidak bersedia sebenarnya untuk melaksanakan program ini.

MOHD. IKMAL HASSAN

Klang, Selangor

Utusan Malaysia Online: 7 April 2010

Tiada ulasan: