Selasa, 20 April 2010

Lapor kementerian segera

KUALA LUMPUR: Wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 diminta membuat laporan kepada Kementerian Pelajaran dengan segera.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata laporan itu perlu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas guru lelaki terbabit sekiranya dia didapati bersalah.


“Untuk kejadian begini, mangsa boleh menulis surat mengadu kepada kementerian atau Jabatan Pelajaran Negeri dengan menyertakan butiran lengkap kejadian supaya senang kami melakukan siasatan terperinci.


“Kami juga mempunyai peraturan tertentu yang boleh dikenakan ke atas guru bersalah sama ada terbabit penipuan mahupun salah laku, tapi sebelum itu mahukan laporan menyeluruh daripada mangsa untuk siasatan.


“Saya tak boleh kata tindakan yang boleh diambil sekarang sebab mahu tengok laporannya dulu dan bergantung kepada tahap kesalahan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita nyaris kerugian RM200,000 dan diisytiharkan muflis gara-gara dipukau seorang lelaki berkhidmat sebagai guru yang dikenali selepas bertemu di sebuah stesen minyak.

myMetro: 20 April 2010

Tiada ulasan: