Isnin, 19 April 2010

e-mel anda: Pelajar rugi dendam guru

MASALAH disiplin pelajar sekolah kembali menarik perhatian umum. Terbaru, sekumpulan pelajar tingkatan dua dan tiga sebuah sekolah menengah di Jalan Klang Lama dilaporkan menyembur cat ke atas 11 kenderaan guru mereka dan juga memecahkan cermin beberapa kereta terbabit.

Kejadian ini cukup serius dan melampau, malah mengejutkan ramai pihak kerana membabitkan pelajar yang rata-rata baru berusia 14 dan 15 tahun. Keberanian mereka cukup merisaukan semua pihak.

Insiden ini dilaporkan berpunca daripada rasa tidak puas hati pelajar yang dikenakan tindakan disiplin oleh guru sekolah terbabit. Namun, walau apapun alasan mereka, perbuatan ini tidak boleh diterima kerana tindakan guru adalah untuk mendidik dan membentuk pelajar berkenaan.

Masalah sosial membabitkan pelajar sekolah kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Bermula dengan gejala merokok, penagihan dadah, mencuri hinggalah kepada pelbagai lagi perbuatan vandalisme yang menakutkan kita.

Maka institusi sekolah dilihat sebagai tempat harapan semua pihak terutama ibu bapa agar anak-anak mereka dapat dididik dan dibentuk menjadi manusia berguna tanpa terpengaruh dan tergolong dalam kategori pesalah juvana seperti di atas.

Tetapi kejadian membalas dendam terhadap guru seperti ini pastinya akan menjejaskan, malah boleh menghancurkan harapan itu kerana guru akan mula berfikir dua kali sebelum mengambil tindakan ke atas anak murid mereka kerana takut pelajar akan membalas semula.

Apa yang jelas yang rugi ialah pelajar itu sendiri dan akan menghancurkan masa depan mereka sendiri.

Jika kita meneliti semula kesan akibat kejadian ini, ia boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu impak kepada guru dan satu lagi pelajar. Bagi guru yang terbabit, kita percaya kejadian ini akan meninggalkan kesan mendalam dalam diri masing-masing.

Mereka bukan saja akan kecewa, malah ia juga boleh memberi kesan psikologi dan motivasi guru berkenaan. Misalnya, ia boleh mengganggu perasaan dan emosi mereka di samping boleh juga mewujudkan rasa takut serta menjejaskan motivasi dan semangat untuk meneruskan aktiviti pengajaran. Malah, insiden ini juga akan dilihat sebagai kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri mereka.

Akibatnya, akan ada guru terbabit mula memikirkan untuk memohon pertukaran sekolah dan ini sekali lagi akan merugikan dan menjejaskan aktiviti pembelajaran di sekolah berkenaan. Maka perbuatan segelintir pelajar nakal ini menyebabkan kerugian kepada pelajar lain yang tidak bersalah.

Bagi pelajar yang terbabit pula, tindakan berani tak bertempat mereka ini pasti akan mengundang hukuman setimpal. Mereka bukan saja berhadapan tindakan disiplin dari pihak sekolah seperti digantung ataupun dibuang sekolah, malah ia juga mula membabitkan polis apabila guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Taman Medan.

Tindakan mereka akhirnya memakan diri dan sekarang berhadapan tindakan undang-undang yang pastinya akan menghancurkan masa depan mereka. Akibatnya juga, ibu bapa pelajar berkenaan perlu menanggung malu, malah mereka mula risau apabila terkenang tindakan yang bakal dikenakan terhadap anak-anak mereka.

Kesimpulannya, kejadian sebegini lebih banyak mendatangkan kerugian kepada pelajar itu sendiri. Misalnya, guru boleh bertukar sekolah, boleh tidak mengambil sebarang tindakan, malah mereka juga boleh berdiam diri dan tidak mempedulikan masalah pelajar seperti ini.

Tetapi apakah itu yang kita kehendaki? Maka kita perlu menyuntik kembali semangat guru dengan membela nasib mereka di samping meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin. Pokok pangkalnya, guru perlu dibenarkan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi tanpa gangguan seperti ini.

Justeru, kejadian ini sewajarnya membuka mata dan minda kita untuk merenung kembali masa depan anak-anak kita yang semakin liar, nakal dan sukar dikawal baik oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor


myMetro: 19 April 2010

Tiada ulasan: