Isnin, 5 April 2010

Jawatankuasa kaji beban guru masih dalam proses

KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugasan guru di seluruh negara seperti yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih di peringkat perbincangan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, perancangan itu akan dibentang kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam masa terdekat sebelum satu mesyuarat diadakan dalam tempoh dua bulan ini.

“Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa itu, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Abdullah Mahmood.

Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi guru itu membolehkan organisasi berkenaan terus membela kebajikan 129,124 orang anggotanya. - Bernama

myMetro: 5 April 2010

Tiada ulasan: