Sabtu, 10 April 2010

Tiga pelajar kena belasah dengan topi keledar

2010/04/10

SHAH ALAM: Tiga pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Seksyen 27 di sini, cedera selepas dua bekas pelajar sekolah sama, memukul mereka dengan topi keledar, pagi semalam.

Kedua-dua suspek yang melarikan diri selepas kejadian, bagaimanapun berjaya ditahan di sebuah kawasan di Subang Jaya selepas pelajar dan guru yang melihat kejadian itu membuat laporan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, kedua-dua suspek, masing-masing berusia 18 dan 20 tahun dibenarkan masuk ke sekolah berkenaan selepas berpura-pura ingin berjumpa dengan saudara mereka yang juga pelajar di situ.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata ketika kejadian, suspek yang berada di ruang pelawat menunggu di dalam sekolah sebelum menghamburkan kata-kata lucah terhadap guru yang berada di situ.

"Kejadian itu didengari oleh tiga pelajar lelaki Tingkatan Empat itu yang cuba masuk campur sebelum suspek bertindak balas dengan memukul dengan topi keledar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Noor Azam berkata, siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan bertindak melarikan diri selepas melihat keadaan mula menjadi kelam-kabut apabila pengurusan sekolah campur tangan.

"Ketiga-tiga pelajar itu dirawat sebagai pesakit luar dan hanya mengalami lebam dan keterangan mereka sudah direkodkan.
"Kita berterima kasih kepada pihak sekolah yang bertindak pantas dengan segera melaporkannya kepada polis.

"Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana bertindak menceroboh kawasan sekolah dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca serangan itu termasuk menyiasat motif suspek bertindak demikian.

Sementara itu, pengawal keselamatan sekolah itu yang dikenali sebagai Muflih berkata, beliau membenarkan kedua-dua suspek itu memasuki kawasan sekolah itu selepas mereka memberitahu ingin berjumpa seorang saudara mereka.

"Namun, saya berasa tidak sedap hati selepas melihat mereka seolah-olah berada dalam keadaan mabuk.

"Tekaan saya benar apabila terdengar bunyi kecoh sebelum melihat mereka berlari keluar sebelum menaiki motosikal meninggalkan kawasan sekolah.

"Mujur saya sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal mereka dan sudah menyerahkannya kepada pihak polis," katanya.

Berita Harian Online: 10 April 2010

Tiada ulasan: