Rabu, 7 April 2010

Guru pelatih ikuti aktiviti ‘mengoca’


Sebahagian guru pelatih IPRM merasa seronok apabila berjaya menangkap ikan menggunakan tangan di Kampung Lonek, Batu Kikir, baru-baru ini.


KUALA PILAH 6 April – Pernahkah anda melakukan aktiviti ‘mengoca’ atau lebih dikenali sebagai menangkap ikan cara tradisional menggunakan tangan khususnya di kawasan sawah padi?

Jika anda biasa melakukannya, tentulah ia satu aktiviti yang menyeronokkan.

Tetapi bagi sekumpulan 104 guru pelatih dari Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) Seremban ini, ia merupakan satu pengalaman baru apabila diberikan pendedahan aktiviti itu di Kampung Lonek, Batu Kikir dekat sini baru-baru ini.

Ketua Unit Pengajian Melayu IPRM, Dr. Khairuddin Mohamad berkata, penganjuran aktiviti itu sudah masuk kali ketiga sejak 2008 dan telah mendapat kerjasama erat daripada kerajaan Negeri Sembilan.

‘‘Program ini bertujuan melahirkan bakal guru yang mempunyai pengalaman secara terus di samping membentuk mereka supaya menguasai kemahiran yang tinggi dalam mengurus.

‘‘Selain itu, program ini bertujuan melahirkan guru yang mempunyai jati diri yang kukuh dan mantap serta mendekatkan mereka dengan persekitaran semula jadi,” katanya di sini hari ini.

Tambah Khairuddin, sepanjang tiga hari menyertai program itu, pelatih tinggal bersama keluarga angkat di kampung berkenaan, selain mendekatkan mereka dengan aktiviti harian penduduk.

‘‘Di sinilah mereka diberi pendedahan mengoca ikan, mengacau dodol dan lain-lain aktiviti tradisional,” katanya.

Katanya, aktiviti mengoca merupakan kaedah tradisional menangkap ikan pada zaman dahulu yang dijalankan dalam sawah padi selepas penat bekerja seharian.

Tambahnya, kaedah menangkap ikan yang menggunakan tangan ini dijalankan secara berkumpulan sama ada bersama keluarga atau penduduk kampung.

‘‘Bagi mereka yang pernah melakukan aktiviti mengoca dalam selut ini, sudah tentulah akan terkenang kembali peristiwa manis tersebut.

‘‘Kini aktiviti mengoca mula terpinggir di sebalik kemodenan peralatan menangkap ikan yang ada masa kini seperti pancing, jala, pukat dan lain-lain,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin menambah, aktiviti mengoca ikan ini mampu mengurangkan stres atau tekanan.

Katanya, terdapat sekurang-kurangnya tiga tahap dalam aktiviti ini yang telah dikenal pasti, boleh membantu mengurangkan stres secara semula jadi ini.

‘‘Pertama pada bahagian tangan, iaitu apabila berlakunya sentuhan badan ikan yang licin dan berselut dengan tangan, penghidap stres secara sendiri membantu mengalirkan lebihan tenaga akibat stres berkenaan ke dalam badan ikan sembilang.

‘‘Bahagian kedua apabila kaki pesakit bergesel dengan badan ikan dan proses ini terjadi apabila kaki pesakit terendam dalam bahagian air yang mengandungi banyak ikan menyebabkan pesakit berasa geli.

‘‘Sementara itu, peringkat ketiga berlaku apabila proses gelak ketawa, gurau senda dan jeritan terkawal yang berlaku secara spontan sama ada untuk tujuan memberikan motivasi kepada rakan-rakan supaya menangkap ikan dengan banyak dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu, tambah Khairuddin, aktiviti mengoca ikan boleh meredakan tekanan dengan cara murah, cepat dan mudah diperoleh dalam sawah.

Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPRM, Asmah Yahya berkata, walaupun guru pelatih ini datang dari merata negeri dan latar belakang budaya, mereka tetap bersemangat mencuba aktiviti mengoca ini.

‘‘Semangat berlumba-lumba telah memperlihatkan pelbagai aksi lucu secara spontan yang lahir menerusi kreativiti, kritis dan kemahiran untuk menangkap ikan dalam selut dengan jumlah yang banyak seterusnya menjuarai pertandingan tradisional ini,” katanya.

Katanya, apabila mereka keluar dari IPRM kelak, aktiviti ini boleh dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Utusan Malaysia Online: 7 April 2010

Tiada ulasan: